Duduk di rumah kecuali untuk penuhi keperluan asas -MKN

MKN
MKN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Orang ramai dinasihatkan supaya berada di rumah sepanjang masa apabila Perintah Kawalan Pergerakan bermula hari ini hingga 31 Mac ini kecuali untuk memenuhi keperluan asas, menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN).

MKN, dalam kenyataan, berkata orang ramai juga diingatkan agar mengamalkan penjarakkan sosial daripada orang sekeliling supaya dapat mengelakkan jangkitan Covid-19.

Susulan pengisytiharan perintah tersebut oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Isnin lalu orang ramai diminta mematuhi semua peraturan yang diputuskan oleh pihak berkuasa.

Lanjutan daripada pengisytiharan itu, MKN dan Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan mesyuarat penyelarasan bersama agensi kerajaan lain semalam bagi memperincikan pelaksanaannya agar perintah itu berjalan dengan baik dan lancar.

"Untuk memastikan keperluan orang ramai tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, terdapat perkhidmatan tertentu iaitu ‘penting’ dan ‘bukan penting’ dibenarkan beroperasi.

"Bagi melaksanakan perintah tersebut, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 telah diwartakan hari ini," menurut kenyataan itu.

Pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) turut telah dilantik sebagai pegawai diberi kuasa di bawah Seksyen 3 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).

Perkara itu perlu dipatuhi bagi meningkatkan lagi keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan itu.

Artikel Berkaitan: