Tiga lelaki ditahan jalankan kegiatan ah long tanpa lesen

SEREMBAN - Tiga lelaki tempatan ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau ah long yang aktif beroperasi di sekitar daerah ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, ketiga-tiga suspek berusia antara 38 hingga 45 tahun itu ditahan dalam satu Operasi Vulture yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Seremban.
“Sindiket ini dipercayai aktif mencari pelanggan dan menampal poster pinjaman tanpa lesen di sekitar kawasan Seremban.
“Ketiga-tiga individu yang ditahan disyaki memainkan peranan utama dalam operasi tersebut,” katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, menerusi serbuan itu, polis turut merampas pelbagai barangan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan haram tersebut termasuk dua kenderaan, lapan telefon bimbit, 24 kad ATM bank, dan 35 set salinan dokumen peminjam.
“Turut dirampas ialah lima keping salinan kad pengenalan dan gambar muka peminjam yang gagal membuat bayaran.
“Selain itu, empat salinan dokumen perniagaan (SSM), cop syarikat dan pasport turut dirampas,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pinjaman yang mencurigakan.
Sebarang maklumat berkaitan sindiket pinjaman haram boleh disalurkan kepada CCID Scam Response Centre di talian 03-26101559 atau 03-26101599.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

