Lelaki Myanmar, rakan ditahan pandu Toyota Alphard tanpa lesen

MELAKA - Tindakan enam sekawan warga Myanmar yang hendak ke Johor Bahru bersama seorang wanita dengan menaiki kenderaan mewah Toyota Alphard tidak kesampaian apabila ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka pada awal pagi Selasa.
Dalam Operasi Pemandu Warga Asing (Op PEWA) kira-kira jam 10 pagi itu, kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu lelaki warga Myanmar tanpa lesen memandu sah turut membawa lima rakannya disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Kuala Lumpur.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop, berkata kenderaan dinaiki mereka ditahan di susur masuk Plaza Tol Jasin dan kesemua mereka yang ditahan termasuk seorang wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati kesemua mereka tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah, malah pemandunya juga tidak mempunyai lesen memandu.
“Semakan turut mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki warganegara tempatan dan disita untuk siasatan lanjut.
“Keenam-enam disyaki PATI itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Melaka, Bukit Katil, di sini, pada petang Selasa.
Ujarnya, dalam operasi itu sebanyak 38 kenderaan daripada 56 buah kenderaan telah diperiksa dan dikesan melakukan pelbagai kesalahan, seterusnya diberikan 119 notis di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333).
Katanya, kenderaan yang disita termasuk motosikal, kereta dan MPV Toyota Alphard yang didapati melakukan tiga kesalahan utama iaitu tiada lesen memandu, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, dan tiada perlindungan insurans.
Menurutnya, JPJ Melaka juga melaksanakan Ops Khas Luxury yang memfokuskan penguatkuasaan terhadap kenderaan import dan mewah yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
“Sejak Januari hingga kini, 10 kenderaan mewah disita atas kesalahan LKM tamat tempoh dan tiada insurans, termasuk tujuh menerusi Ops Luxury yang diadakan serentak di seluruh negara bermula sejak 1 Julai lalu.
“Antara kenderaan mewah yang disita termasuk Porsche, Bentley, BMW, Toyota Alphard, Tesla dan Kia dengan keseluruhan nilai dianggarkan hampir RM6 juta,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

