Lelaki Pakistan curi minyak motosikal ditahan polis

ISKANDAR PUTERI – Dua suspek termasuk seorang warga asing ditahan polis selepas dipercayai mencuri minyak petrol motosikal di sebuah pangsapuri di Tanjung Kupang di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kejadian disedari oleh seorang wanita tempatan berusia 28 tahun bersama suaminya ketika mereka mahu menggunakan motosikal sekitar jam 7.30 pagi.
“Hasil maklumat daripada pengadu dan bantuan pihak polis bantuan pangsapuri, sepasukan polis dari Balai Polis Tanjung Kupang berjaya menahan dua suspek.
"Suspek terdiri daripada seorang lelaki warga Pakistan berumur 38 tahun dan seorang wanita tempatan berumur 60 tahun sekitar jam 11 pagi pada hari yang sama,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau memberitahu semakan mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga negatif dadah.
"Polis turut merampas dua botol berisi minyak petrol dan sebilah gunting daripada suspek.
"Permohonan reman akan dibuat di Mahkamah Johor Bahru pada Selasa bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya lagi.
Sebelum itu tular video selama dua minit 19 saat memaparkan seorang lelaki warga Pakistan didakwa mencuri minyak dari sebuah motosikal dengan memotong tiub minyak.
Tindakan itu mengundang kemarahan pemilik motosikal yang ingin menggunakan kenderaan tersebut untuk pergi kerja.
Meskipun ditanya berulang kali tentang tindakannya itu, lelaki warga Pakistan itu tetap menyatakan dia mahu menolong dan tidak potong (curi minyak).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

