Polis bongkar makmal haram proses heroin di Bukit Tambun

No Image Caption
A
A
A

NIBONG TEBAL - Polis berjaya membongkar sebuah makmal haram memproses dadah jenis heroin menerusi dua serbuan di kawasan Bukit Tambun pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Jay January Siowou berkata, serbuan yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Pulau Pinang itu turut membawa kepada tangkapan tiga lelaki berusia 25 hingga 46 tahun termasuk seorang warga Sri Lanka.

"Serbuan pertama dilakukan jam 4.29 petang di sebuah rumah di Taman Tambun Permai, Simpang Ampat menahan dua lelaki tempatan bersama rampasan heroin seberat 1,113 gram, heroin base (641 gram), kafein (4 kilogram), beberapa bahan kimia dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

“Serbuan kedua pada jam 5.04 petang di lokasi berhampiran berjaya menahan seorang lelaki warga Sri Lanka bersama kafein seberat 26 kilogram,” katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.

Tambah beliau, nilai rampasan dadah, bahan kimia dan kenderaan dianggarkan RM209,000.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek utama mengaku memproses heroin, manakala dua lagi bertindak sebagai penghantar dadah dan bahan kimia.

"Hasil risikan mendapati sindiket ini aktif sejak Januari 2025.

"Keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 49,500 orang," tambahnya lagi.

Beliau berkata, dua suspek warga tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah, manakala warga Sri Lanka tidak mempunyai rekod jenayah.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ketiga-tiga suspek disahkan negatif dadah selepas ujian saringan air kencing dan direman tujuh hari hingga 19 Ogos ini.

Polis turut mengambil tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan menyita empat kenderaan bernilai RM134,500 iaitu sebuah Toyota Vellfire, Honda Civic serta dua motosikal Yamaha LC135.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!