Polis buka kertas siasatan kes gaduh tular depan kedai dobi

Polis minta dua lelaki untuk tampil bantu siasatan berhubung video tular pergaduhan di hadapan kedai dobi di Tumpat.
Polis minta dua lelaki untuk tampil bantu siasatan berhubung video tular pergaduhan di hadapan kedai dobi di Tumpat.
A
A
A

TUMPAT – Polis meminta dua lelaki tampil bagi membantu siasatan berhubung satu video tular di media sosial berkaitan pergaduhan di hadapan sebuah dobi layan diri di Pasir Pekan, di sini sejak Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai polis wanita yang bertugas di Balai Polis Wakaf Bharu, selepas melihat video tersebut pada jam 5.14 petang.

“Hasil semakan terhadap video berdurasi 32 saat itu memaparkan kejadian pertengkaran mulut melibatkan dua lelaki berusia awal 20-an sehingga berlaku pergelutan.

“Kejadian tersebut turut disaksikan oleh orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd Khairi, punca pergaduhan masih dalam siasatan dan setakat ini tiada sebarang laporan polis diterima berkaitan kejadian berkenaan.

Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tumpat telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

“Kami meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Mohammad Nurul Safwan Mohd Zambre di talian 09-7257222 atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!