Mayat pemancing ditemukan tertiarap di sawah padi

BACHOK – Seorang pemancing ditemukan mati tertiarap di sawah padi di Ladang Padang Merdeka, Jelawat, pada Jumaat.
Lelaki berusia 22 tahun yang menghidap penyakit sawan itu ditemukan orang awam kira-kira jam 9 pagi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintenden Mohd Azrie Sulaiman, berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan penemuan itu di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok pada waktu sama sebelum sepasukan pegawai dan anggota Balai Polis Jelawat bersama pegawai penyiasat bergegas ke lokasi.
“Setibanya di sawah itu, polis mendapati mayat berada dalam keadaan tertiarap dengan sebahagian muka terendam di selut dalam air separas 0.3 meter.
“Tiada kesan kecederaan luaran atau petunjuk jenayah ditemui,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, turut dijumpai berhampiran lokasi penemuan mayat ialah sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR bersama peralatan memancing miliknya.
“Lelaki ini dikenal pasti beralamat di Kampung Kuchelong, Jelawat, tidak bekerja dan menghidap penyakit sawan sejak dua tahun lalu.
“Ahli keluarganya memaklumkan bahawa kali terakhir dia dilihat keluar rumah pada jam 5 petang semalam untuk memancing,” katanya.
Tambah beliau, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian bagi proses bedah siasat untuk menentukan punca sebenar kematian.
“Sehingga kini, penemuan mayat disiasat di bawah Siasatan Mati Mengejut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

