Rakyat Pulau Pinang dinasihatkan patuh Perintah Kawalan Pergerakan

Kon Yeow menyampaikan peralatan perlindungan diri kepada Surentharan bagi kegunaan kakitangan Hospital Pulau Pinang.
Kon Yeow menyampaikan peralatan perlindungan diri kepada Surentharan bagi kegunaan kakitangan Hospital Pulau Pinang.
A
A
A

GEORGETOWN - Penduduk negeri ini dinasihatkan supaya bertenang dan mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa hari bagi mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, tindakan lebih ketat mungkin akan dikenakan oleh kerajaan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan yang dilakukan selama 14 hari tidak mencapai tujuan dalam membendung wabak berkenaan.

Bagaimanapun, Kon Yeow berkata, masyarakat perlu penyesuaian dalam berdepan situasi ini, namun kesedaran serta tanggungjawab semua pihak amat diperlukan bagi memastikan misi ini berjaya.

"Walaupun kita tak boleh menjangkakan semuanya sempurna pada hari pertama, tapi kita mahukan semua pihak menjayakan perintah kawalan ini.

"Tempoh genting ini memerlukan pengorbanan setiap warga supaya tujuan perintah ini dapat dicapai dalam mengurangkan kes-kes Covid-19 melalui tindakan jarak sosial," katanya pada sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di sini hari ini.

Terdahulu, Kon Yeow bersama barisan Exco kerajaan negeri menyampaikan 10 kotak peralatan perlindungan diri termasuk 280 helai jubah pembedahan kepada Pengurusan Hospital Pulau Pinang (HPP).

Menurutnya, pemberian peralatan itu bagi melindungi wira-wira barisan hadapan yang berdepan bagi melawan wabak Covid-19 di negeri ini.

Hadir menerima sumbangan berkenaan, Ketua Penolong Pengarah HPP, Surentharan Mathavan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Kon Yeow berkata, walaupun sektor kesihatan bukan di bawah bidang kerajaan negeri, namun pihaknya terus memberi sokongan termasuk dari segi kewangan kepada Jabatan Kesihatan Negeri untuk memastikan kelengkapan mencukupi bagi membanteras wabak ini.

Selain itu, kerajaan negeri juga menyediakan satu laman khas di Facebook bagi menyalurkan maklumat dan perkembangan semasa mengenai Covid-19 di Pulau Pinang.

Katanya, satu laman web khas Penang Lawan Covid-19 akan dilancarkan sebagai platform capaian maklumat kepada orang awam.