Lelaki dilapor hilang ditemui meninggal dunia di puncak air terjun

Mayat mangsa ditemukan di dalam hutan berdekatan air terjun di Kampung Teluk Sanau, pada awal pagi Jumaat.
Mayat mangsa ditemukan di dalam hutan berdekatan air terjun di Kampung Teluk Sanau, pada awal pagi Jumaat.
A
A
A

BALING – Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di dalam hutan berdekatan air terjun di Kampung Teluk Sanau di sini awal pagi Jumaat.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Zulkhairi Mat Tanjil berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis untuk membantu mencari dan menyelamat mangsa lemas di hutan air terjun berkenaan pada jam 2.34 pagi.

Menurutnya, sepasukan anggota dari BBP Baling tiba di lokasi tidak lama kemudian untuk membantu mengangkat mayat berkenaan pada ketinggian lebih sembilan meter.

“Anggota bomba terpaksa mendaki dan menyelusuri denai sejauh tiga kilometer untuk sampai ke puncak. Setibanya di lokasi kejadian, mangsa didapati tidak sedarkan diri.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut menyertai operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Zulkhairi berkata, kerja-kerja mengeluarkan mangsa amat berisiko disebabkan cerun curam, permukaan batu licin, struktur muka bumi tidak sekata, selain hujan renyai serta keadaan gelap.

Anggota bomba menggunakan pengusung dan sistem tali untuk membawa mangsa turun dari kawasan puncak air terjun.
Anggota bomba menggunakan pengusung dan sistem tali untuk membawa mangsa turun dari kawasan puncak air terjun.

“Pihak bomba menggunakan pengusung dan sistem tali untuk membawa mangsa turun dari kawasan puncak air terjun.

Artikel Berkaitan:

“Bomba mengambil masa hampir dua jam dengan turut dibantu polis, KKM serta orang awam untuk membawa mangsa ke bawah,” katanya.

Menurutnya lagi, mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 6.23 pagi.

“Tiada rekod pengenalan diri mangsa ditemui di lokasi, namun mangsa dipercayai berusia sekitar 40-an,” katanya.

Difahamkan, mangsa masuk ke hutan tersebut untuk melakukan kerja-kerja kampung, mencari petai dan sayuran kampung.

Bagaimanapun, dia dilaporkan hilang selepas gagal dihubungi adiknya sejak petang Khamis, yang kemudian memohon bantuan orang kampung untuk melakukan pencarian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!