Segerakan penyaluran air ke Bukit Merah

Paras air Empangan Bukit Merah dekat Bagan Serai kini dilaporkan merosot akibat musim kemarau menunjukkan pentingnya menyegerakan projek pemindahan air Sungai Perak ke empangan berkenaan.
Paras air Empangan Bukit Merah dekat Bagan Serai kini dilaporkan merosot akibat musim kemarau menunjukkan pentingnya menyegerakan projek pemindahan air Sungai Perak ke empangan berkenaan.
A
A
A

PROJEK penyaluran air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah merupakan antara inisiatif strategik yang sangat kritikal untuk masa depan ekonomi, pertanian dan kelestarian sumber air di utara Semenanjung Malaysia.

Diluluskan secara prinsip pada Jun 2024 dengan anggaran kos RM4 bilion, projek ini dirangka untuk menyalurkan air ke kawasan Kerian dan seterusnya ke Pulau Pinang, di samping menyokong pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP).

Paras air Empangan Bukit Merah dekat Bagan Serai kini dilaporkan merosot akibat musim kemarau menunjukkan pentingnya menyegerakan projek pemindahan air Sungai Perak ke empangan berkenaan.

Pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) Isnin lalu, paras air empangan meningkat daripada 6.03 meter kepada 6.09 meter manakala kapasiti simpanan turut naik daripada 6.65 juta meter padu (12.2%) kepada 7.25 juta meter padu (13.31%).

Status semasa empangan bagaimanapun masih berada pada tahap Aras Henti Bekalan Pengairan seperti yang ditetapkan dalam prosedur operasi standard yang mana peningkatan itu sedikit sebanyak membantu memanjangkan tempoh bekalan air bagi keperluan domestik namun, bukannya untuk tujuan pengairan di Rancangan Pengairan Kerian.

Gesaan kerajaan Perak kepada kerajaan Pusat bagi mempercepatkan pelaksanaan Projek Skim Pemindahan Air dari Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah itu bertepatan.

Menerusi Sidang Dewan Undangan Negeri ke-15, April lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin mendedahkan projek itu sudah lebih sedekad dibincangkan ketika beliau memegang jawatan sebagai Exco kerajaan negeri.

Namun, rangka masa menunjukkan projek itu telah diluluskan pada Jun 2024 dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perancangan projek itu berada pada peringkat akhir pada Mac 2025.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad pada 24 Julai lalu menyatakan bahawa projek itu akan dibawa ke Kabinet Ogos ini untuk dibincangkan dan diluluskan.

Artikel Berkaitan:

Sebarang kelewatan projek penyaluran air ini bukan sekadar isu teknikal, ia memberi impak besar terhadap keterjaminan makanan, pelaburan industri, kelestarian alam sekitar, dan kehidupan rakyat.

Kerian merupakan antara kawasan jelapang padi yang menyumbang lebih 12 peratus kepada pengeluaran beras nasional.

Kegagalan mendapatkan air yang mencukupi akan mengurangkan hasil tuaian, menyukarkan perancangan musim tanaman, dan membebankan petani dengan kos tambahan.

Dalam jangka panjang, ia boleh menjejaskan keselamatan makanan negara.

Selain itu, projek ini juga menjadi prasyarat kepada pembangunan KIGIP, sebuah kawasan perindustrian berasaskan tenaga hijau yang dijangka menjana pertumbuhan ekonomi setempat dan menarik pelaburan bernilai tinggi.

Pulau Pinang turut menantikan pelaksanaan projek ini sebagai salah satu langkah jangka panjang bagi menangani kebergantungan mereka terhadap empangan sedia ada.

Dengan pertumbuhan penduduk dan permintaan air yang semakin meningkat, projek ini menjadi pelengkap kepada pelan pengurusan air negeri tersebut.

Namun begitu, kerajaan negeri dan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) masih meneliti jajaran terbaik agar kesannya kepada penduduk, tanah adat, dan alam sekitar adalah minimum.

Perbincangan menyeluruh bersama masyarakat setempat dan penyediaan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) perlu dilakukan dengan teliti agar tidak menimbulkan bantahan di kemudian hari.

Secara keseluruhannya, projek ini bukan sahaja menyentuh aspek teknikal saliran air, tetapi juga membawa kesan besar kepada pembangunan sosio-ekonomi dan kelestarian sumber asli.

Kegagalan menyiapkannya mengikut jadual akan membawa risiko besar kepada pertanian, pelaburan, masyarakat luar bandar dan ekosistem Bukit Merah. Oleh itu, pelaksanaannya perlu dipantau rapi.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah wartawan Sinar Harian Perak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!