#QuranHour mesra keluarga, konsep lebih santai

SHAH ALAM – Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyasarkan seramai 200,000 peserta menyertai Malaysia #QuranHour tahun ini, dengan konsep santai dan mesra keluarga bagi menghidupkan suasana meriah sempena sambutan pada 30 Ogos ini.
Pengarah Jawatankuasa Projek Malaysia #QuranHour Peringkat PPAS, Norhafidah Ehawan berkata, pendekatan kali ini memberi peluang lebih ramai masyarakat menikmati pengalaman membaca dan mentadabbur al-Quran bersama keluarga di lokasi lebih terbuka serta inklusif.
Menurutnya, julung kalinya sejak menyertai Malaysia #QuranHour 11 tahun lalu, PPAS bakal meneruskan tradisi dengan skop lebih luas melalui kerjasama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menganjurkan program utama di Galleria SA Sentral di sini.
“Lokasi ini dipilih kerana lebih terbuka kepada masyarakat, membolehkan pengunjung dan komuniti sekitar turut serta.
“Pendekatan ini membolehkan kami mendekati komuniti di luar perpustakaan dan mengajak mereka turut serta membaca serta mentadabbur al-Quran serentak, selari dengan misi Malaysia #QuranHour untuk mengangkat mesej al-Quran ke tengah Masyarakat.
“Kami mahu program ini menjadi ruang yang bukan sahaja mengangkat al-Quran sebagai panduan hidup, tetapi juga mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Tahun ini pelaksanaannya bertepatan dengan hari Sabtu dan cuti umum, jadi kita galakkan orang ramai hadir bersama keluarga untuk merasai suasana ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Malaysia #QuranHour 2025 anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) bakal kembali untuk tahun ke-11 sehari sebelum sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Pelaksanaan tersebut bermula jam 12 tengah hari hingga 1 petang di lokasi perdana Masjid Negara, Kuala Lumpur dan turut dilaksanakan serentak di seluruh negara.
RTM bertindak sebagai penyiar utama bersama rakan media seperti Astro Awani, Astro Oasis, TV AlHijrah, TV9, Bernama, Sinar Harian, Media Prima, IKIM FM, Zayan FM, TV IKIM, Denaihati Network, Nu Ideaktiv dan Santai Travel.
Dalam pada itu menurut Norhafidah, PPAS turut menampilkan kelainan dengan pengisian prolog lebih interaktif seperti perkongsian tadabbur, forum bertema ‘Merdeka Dengan Rasa’ dan sesi bersama qari sebelum bacaan al-Quran bermula.
“Selain bacaan al-Quran serentak, kami akan adakan ceramah agama daripada ustaz jemputan, forum berkaitan tema tahun ini ‘Merdeka Dengan Rasa’ dan sesi tadabbur ringkas.
“Kami juga membawakan qari-qari daripada PPAS sendiri untuk memimpin bacaan. Peserta di Galleria SA Sentral berpeluang mengikuti lintas langsung dari lokasi perdana,” katanya.
Ujar beliau, sebanyak 105 perpustakaan di bawah PPAS termasuk perpustakaan daerah, cawangan dan desa turut digunakan sebagai lokasi utama pelaksanaan, mengikut kesesuaian serta kemudahan setempat.
PPAS turut bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi melibatkan lebih 500 sekolah serta pengurusan masjid di seluruh negeri bagi menyemarakkan penyertaan.
“PPAS berharap Malaysia #QuranHour dapat menyemai rasa cinta kepada al-Quran, bukan sekadar untuk dibaca tetapi juga difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Kami mahu menjadikan perpustakaan sebagai pusat ilmu yang menghubungkan masyarakat dengan nilai dan panduan al-Quran serta membentuk komuniti berilmu, berakhlak dan berjiwa rahmah,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
