Aktiviti pengusahasilan hutan di Perak dihentikan sementara

Semua aktiviti pengusahasilan hutan dihentikan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
Semua aktiviti pengusahasilan hutan dihentikan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.
A
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Perak memberhentikan sementara semua aktiviti pengusahasilan hutan termasuk lesen pembalakan berkuat kuasa esok.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, tindakan itu selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh negara bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, antara tindakan awal diambil adalah menutup operasi Pejabat Perhutanan Negeri dan semua Pejabat Hutan Daerah serta Pejabat Hutan Renjer.

Mohamed Zin
Mohamed Zin

"Semua operasi kuari dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) dan kilang Industri Berasas Kayu (IBK) turut ditutup, tidak terkecuali Taman Eko-Rimba milik Jabatan Perhutanan Negeri Perak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, jabatan juga melakukan pemberhentian sementara semua lesen pembalakan dalam HSK, tanah kerajaan, tanah milik dan lesen kecil sehingga arahan lanjut dikeluarkan.

"Semua permohonan serta kelulusan Penyewaan Kemudahan dan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal dibatalkan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini," katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan hutan di seluruh negeri berjalan seperti biasa mengikut jadual rondaan yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Segala aduan dan pertanyaan berhubung penutupan operasi pejabat dan pemberhentian semua aktiviti terbabit boleh menghubungi Ketua Penolong Pengarah (Operasi dan Penguatkuasaan Hutan), Amsari Mahmud di talian 019-3346367 atau Penolong Pengarah (Operasi dan Penguatkuasaan Hutan), Harman Baharudin 016-2092512.