Pahang tawar ganjaran tangkap ikan patin muncung

Ikan patin muncung diperlukan untuk penghasilan benih baharu. FB: Fairul Amir
Ikan patin muncung diperlukan untuk penghasilan benih baharu. FB: Fairul Amir
A
A
A

KUANTAN - Ganjaran akan diberikan kepada mana-mana pihak yang berjaya menangkap ikan patin muncung dan menyerahkannya kepada Jabatan Perikanan Pahang.

Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, Datuk Seri Mohd Soffi Abd Razak berkata. langkah itu bagi membolehkan Jabatan Perikanan mendapatkan induk untuk penghasilan benih baharu bagi memulihkan semula populasi spesies berkenaan.

"Antara ikan yang masuk kelompok kepupusan ialah patin muncung dan amat sukar diperoleh.

"Sebab itu saya seru ahli dewan, kalau ada ikan patin muncung minta supaya serahkan kepada Jabatan Perikanan, kita akan bayar ganjaran.

"Kita hendak ikan hidup sahaja sebab kita hendak hasilkan telur dan pendekatan kita hendak benih mesti ada induk," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini pada Khamis.

Mohd Soffi
Mohd Soffi

Terdahulu, Mohd Zakhwan Ahmad Badarddin (Pas-Kuala Tahan) ingin mengetahui langkah jangka panjang kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan Bangi menangani kehadiran spesies ikan asing yang invasif yang berpontensi mengancam ekosistem dan populasi ikan tempatan di sungai Pahang.

Menjawab pertanyaan itu, Mohd Soffi berkata, Kerajaan Pahang melalui Jabatan Perikanan memandang serius ancaman spesies ikan asing invasif, khususnya baung ekor merah kerana ia berpotensi memusnahkan ekosistem.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, pihaknya tidak berkompromi terhadap individu atau pihak tertentu yang menternak ikan itu mengancam kelestarian ikan asli di sungai Pahang.

“Ikan baung ekor merah ini makan semua jenis spesies ikan asli yang ada dalam sungai dan membesar dengan begitu cepat.

"Jadi, sebab itu ia spesies cukup bahaya kalau biarkan, ikan asli kita akan pupus,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri juga memperkenalkan program kesedaran dan kempen memancing baung ekor merah secara besar-besaran, termasuk Pertandingan Moh! Tangkap Baung Ekor Merah dengan menawarkan hadiah kepada pemenang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!