Rekayasa KESUMA formula terbaik

Hanya dalam tempoh 18 bulan, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah kepimpinan Steven Sim Chee Keong telah memacu perubahan menyeluruh terhadap dasar pekerjaan negara menerusi inisiatifnya, Rekayasa KESUMA.
Ia mencerminkan komitmen teguh kerajaan dalam membina ekosistem pekerjaan yang adil, efi sien, berdaya saing berpaksikan tiga tonggak utama iaitu kemahiran, kebajikan serta keberhasilan (3K).
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara kini mencatat paras 3.1 peratus iaitu yang terendah dalam tempoh sedekad, sekali gus menunjukkan momentum pemulihan stabil, hasil dasar-dasar pekerjaan yang proaktif.
Kadar inflasi negara juga kekal terkawal dan antara yang terendah dalam tempoh 51 bulan, seterusnya memperkukuh keyakinan terhadap keupayaan Malaysia dalam mengurus ekonomi secara menyeluruh.
KESUMA memainkan peranan penting dalam menyokong kerangka Ekonomi Madani dengan memastikan kesejahteraan pekerja dan kecekapan tenaga kerja menjadi tonggak kepada pertumbuhan inklusif serta pembangunan negara yang berdaya tahan.
Penambahbaikan perkhidmatan awam melalui Rekayasa KESUMA Rekayasa KESUMA melibatkan pembaikan holistik ke atas perkhidmatan awam kementerian melalui pendekatan kejuruteraan semula sistem (system re engineering) yang menyentuh keseluruhan proses penyampaian, bermula daripada capaian maklumat hingga ke pemprosesan kelulusan.
Usaha itu bukan sekadar penambahbaikan teknikal, tetapi satu transformasi pentadbiran yang mendalam bertujuan untuk mempercepat, mempermudah dan mempertingkat interaksi kerajaan dengan rakyat.
Antaranya, proses pencarian maklumat Mahkamah Perusahaan yang sebelum ini memakan masa sebulan selain dikenakan bayaran RM15.40, namun kini hanya tiga hari dan percuma. Pengeluaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) dipendekkan daripada dua bulan kepada dua minggu sekali gus mempercepatkan kemasukan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke pasaran kerja.
Bagi kelulusan Pas Pegawai Dagang TalentCorp pula dipercepatkan kepada tiga hari manakala kelulusan geran dan tuntutan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) yang sebelum ini mengambil seminggu, kini hanya sehari sahaja dan pengeluaran surat jaminan hospital Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) kini dalam masa satu jam berbanding tiga hari sebelumnya.
Selain mempercepatkan sistem, Rekayasa tersebut juga meningkatkan tahap ketelusan, mengurangkan birokrasi dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.
Membanteras buruh paksa demi ekonomi beretika
KESUMA turut melaksanakan langkah menyeluruh bagi membanteras buruh paksa yang memberi kesan besar kepada reputasi negara dan pelaburan asing.
Pindaan Akta Kerja 1955 yang dikuatkuasakan mulai Januari 2023 lalu memperluaskan perlindungan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji dan memperkenalkan hukuman lebih berat kepada pelaku buruh paksa.
Sebagai sebahagian daripada reformasi 28 akta, kementerian turut meminda Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak, Akta Perhubungan Perusahaan serta Akta Kesatuan Sekerja.
Malaysia juga telah melaksanakan Pelan Tindakan Nasional Membanteras Buruh Paksa (NAPFL) dan Pelan Tindakan Menangani Pemerdagangan Orang (NAPTIP) yang disokong oleh pengurusan pekerja asing yang kini lebih beretika dan telus.
Melindungi pekerja gig: RUU baharu
KESUMA kini berada di barisan hadapan dalam mengarusperdanakan perlindu ngan terhadap pekerja ekonomi gig, satu segmen tenaga kerja yang selama ini terpinggir daripada perlindungan undang undang.

Terkini, seramai lebih empat juta rakyat Malaysia atau 25 peratus daripada jumlah tenaga kerja negara terlibat dalam sektor gig, menjadikan usaha kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang (RUU) itu signifikan dan menepati keperluan semasa.
RUU itu dijangka dibentangkan di Parlimen Malaysia pada bulan ini demi menjadikan Malaysia antara negara pertama di dunia yang menyediakan kerangka undang-undang khusus untuk melindungi pekerja gig secara menyeluruh iaitu daripada keselamatan sosial hingga hak kontrak kerja yang adil.
Rang Undang-Undang Pekerja Gig bakal menjadikan Malaysia sebagai negara ke-16 di dunia yang mempunyai undang-undang khas untuk melindungi pekerja sektor gig.
Pendapatan bermaruah melalui gaji minimum dan dasar progresif
Salah satu pencapaian terbesar KESUMA ialah kenaikan kadar gaji minimum pekerja sebanyak 13 peratus yang diumumkan pada Oktober 2024.
Dasar Gaji Progresif (DGP) yang selama ini melalui fasa rintis, telah dilaksanakan sepenuhnya mulai tahun ini.
Melalui pelaksanaan tersebut, seramai 50,000 pekerja dijangka akan menerima manfaat.
KESUMA memperluas perlindungan sosial dengan subsidi 70 peratus di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sektor Informal (SKSPS) serta perluasan kepada perlindungan 24 jam melalui Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK).
Program Daya Kerjaya 3.0 menawarkan insentif RM600 selama tiga bulan kepada pencari kerja aktif, manakala potongan cukai diberikan kepada majikan yang menyokong kerja fleksibel, pengambilan semula wanita bekerja dan cuti khas penjagaan keluarga.
Membangun kemahiran masa depan melalui TVET dan AI KESUMA melaksanakan program reskilling, upskilling dan cross-skilling secara besar-besaran, sebanyak RM3 bilion diperuntukkan pada Januari 2025 bagi latihan kemahiran lebih tiga juta pekerja, diikuti RM10 bilion pada Jun 2025 melalui HRD Corp.
Program khas seperti latihan percuma 10,000 peserta oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan Program Peningkatan Takat OKU (OTEP) turut digerakkan dengan peruntukan RM2 juta.
Kerjasama strategik bersama Huawei Malaysia dalam bidang TVET dan kajian kesan kecerdasan buatan (AI), ekonomi hijau serta digital terhadap pasaran kerja turut menunjukkan kesediaan Malaysia menghadapi cabaran pekerjaan masa hadapan.
Malah, TalentCorp agensi di bawah KESUMA telah melancarkan satu kajian utama pada suku pertama 2025 yang menyeluruh mengenai impak AI, digitalisasi dan peralihan kepada ekonomi hijau terhadap tenaga kerja Malaysia.
Sementara itu, dalam memastikan kelestarian reformasi, integriti dijadikan asas dalam semua aspek pengurusan kementerian.
Usaha bersama PERKESO dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut membongkar kartel tuntutan palsu dengan 33 individu termasuk tiga doktor direman.
Malaysia di ILC: Menjulang piawaian buruh dan komitmen global
Pada Persidangan Buruh Antarabangsa (ILC) ke-113, Steven Sim menyampaikan laporan dan komitmen Malaysia kepada dunia antaranya Malaysia telah membuat lebih 100 penambahbaikan terhadap undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan selaras dengan Konvensyen ILO C155 yang telah disahkan pada tahun sebelumnya.
Malaysia juga berjaya menyelaraskan tiga piawaian buruh antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang sebelum ini berbeza, sekali gus menjamin perlindungan serta hak setara kepada semua pekerja tanpa mengira wilayah.
Perlindungan keselamatan sosial turut diperluas kepada pekerja migran dan meliputi perlindungan 24 jam sehari. Negara mencatat kadar pengangguran terendah dalam 10 tahun, gaji minimum berkanun meningkat sebanyak 13 peratus dan gaji median bulanan meningkat 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Steven Sim turut berkongsi draf akhir Rang Undang-Undang Pekerja Gig sebagai langkah penting Malaysia untuk menjadi antara negara pertama yang menyediakan perlindungan undang undang khusus kepada tenaga kerja gig.
Melalui kepimpinan Malaysia dalam pelaksanaan Tahun Kemahiran ASEAN 2025 bersama ILO, beliau menegaskan bahawa hanya melalui solidariti dan tindakan bersama, nasib pekerja serta masa depan pekerjaan dapat diperkasa secara menyeluruh.
Harapan baharu pekerja Malaysia Di bawah bumbung Rekayasa KESUMA, tenaga kerja Malaysia kini lebih dihargai, dilindungi dan bersedia untuk menghadapi masa depan. Malaysia kini berada di landasan yang betul ke arah ekosistem pekerjaan yang inklusif, berkemahiran tinggi dan bebas eksploitasi.
Dengan komitmen terhadap inovasi, integriti dan kesejahteraan rakyat, KESUMA terus membuktikan bahawa tenaga kerja nadi kemajuan negara serta terus menjadi harapan bangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
