Bencana panas landa Eropah

Anggota bomba memadam kebakaran hutan akibat cuaca panas dan rumput kering di pinggir Podgorica, Montenegro. - AFP
Anggota bomba memadam kebakaran hutan akibat cuaca panas dan rumput kering di pinggir Podgorica, Montenegro. - AFP
A
A
A

WASHINGTON - Gelombang panas ekstrem melanda Eropah dan rantau Mediterranean sejak beberapa bulan lalu, memecahkan rekod suhu di beberapa negara serta mencetuskan kebakaran hutan besar-besaran yang mengorbankan nyawa dan memusnahkan ribuan hektar tanah.

Menurut analisis Agensi Berita Perancis (AFP) berdasarkan data Balai Pemerhatian Kemarau Eropah (EDO), lebih separuh iaitu 52 peratus wilayah Eropah dan lembangan Mediterranean dilanda kemarau pada Julai, bulan keempat berturut-turut.

Tahap kemarau pada Julai 2025 adalah yang tertinggi sejak data mula direkodkan pada 2012, melebihi purata 2012-2024 sebanyak 21 peratus.

Rekod bulanan dilaporkan dipecahkan setiap bulan tahun ini.

Seorang lelaki menyejukkan badan di pancuran air ketika gelombang panas melebihi 40 darjah Celsius melanda Seville, Sepanyol. - AFP
Seorang lelaki menyejukkan badan di pancuran air ketika gelombang panas melebihi 40 darjah Celsius melanda Seville, Sepanyol. - AFP

EDO di bawah Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah mengukur kemarau melalui imej satelit berdasarkan tiga parameter iaitu hujan, kelembapan tanah dan keadaan tumbuh-tumbuhan.

Antara kawasan paling terjejas ialah Eropah Timur dan Balkan, dengan banyak tanah berada pada tahap ‘amaran merah’.

Di Hungary, kawasan tanah dalam status amaran meningkat mendadak daripada sembilan peratus pada Jun kepada 56 peratus pada Julai.

Artikel Berkaitan:

Di Kosovo, angka itu melonjak daripada enam peratus kepada 43 peratus, manakala di Bosnia-Herzegovina, kawasan amaran meningkat daripada satu peratus kepada 23 peratus.

Kosovo mencatat suhu tertinggi dalam sejarah negara itu apabila bandar Klina merekodkan 42.4 darjah Celsius pada 25 Julai, mengatasi rekod 40.8 darjah Celsius pada 1987.

Pihak berkuasa menyifatkannya sebagai penyimpangan besar daripada purata suhu bulanan 30 hingga 35 darjah Celsius.

Keadaan panas melampau ini turut memacu siri kebakaran hutan di rantau Balkan, termasuk Albania, Montenegro dan Croatia.

Di Albania, hampir 34,000 hektar tanah musnah sejak Julai dan lebih 20 individu ditahan kerana disyaki membakar secara sengaja.

Di Itali, gelombang panas meragut nyawa seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari Romania yang meninggal dunia akibat strok haba di Sardinia.

Negara itu mengeluarkan amaran merah di lebih 10 bandar utama termasuk Bologna dan Florence.

Kebakaran hutan di Gunung Vesuvius memaksa taman negara ditutup kepada pelancong, manakala di beberapa kawasan lain, pasukan bomba dan tentera terpaksa digerakkan bagi mengawal api.

Perancis turut berdepan suhu luar biasa tinggi dengan bandar Bordeaux mencatatkan 41.6 darjah Celsius, memecahkan rekod 41.2 darjah Celsius pada 2019.

Rekod baharu turut dicatat di Bergerac, Cognac dan Saint Girons.

Seramai 12 wilayah di Perancis kini berada pada amaran merah gelombang panas, dengan pihak berkuasa kesihatan menggesa orang ramai mengelakkan kafein dan alkohol serta memastikan pengambilan air mencukupi.

Pemandangan matahari melalui hiasan berwarna di Issy-les-Moulineaux, selatan Paris, ketika gelombang panas melanda Perancis. - AFP
Pemandangan matahari melalui hiasan berwarna di Issy-les-Moulineaux, selatan Paris, ketika gelombang panas melanda Perancis. - AFP

Di Sepanyol, kebakaran di kawasan perlombongan era Rom yang diiktiraf UNESCO di Las Medulas menyebabkan ratusan penduduk berpindah.

Suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius di banyak kawasan, memarakkan api di pelbagai lokasi termasuk Tarifa, yang memaksa lebih 2,000 orang dipindahkan.

Portugal berdepan tiga kebakaran besar di bahagian tengah dan utara negara, manakala Maghribi menghantar dua pesawat bantuan selepas dua pesawat bomba Portugis rosak.

Di Turkiye, pihak berkuasa mengesahkan Julai 2025 adalah yang terpanas dalam tempoh 55 tahun.

Bandar Silopi di wilayah Sirnak merekodkan suhu tertinggi negara iaitu 50.5 darjah Celsius, mengatasi rekod lama 49.5 darjah Celsius pada Ogos 2023.

Beberapa kebakaran besar di barat Turkiye bulan lalu meragut 14 nyawa.

Di Canakkale, lebih 2,000 penduduk dipindahkan dan 77 orang dirawat akibat sesak nafas selepas kebakaran memusnahkan rumah serta kenderaan.

Ahli sains iklim menyifatkan gelombang panas kali ini bukan fenomena terpencil, sebaliknya sebahagian daripada proses perubahan iklim jangka panjang yang semakin jelas kesannya di Eropah dan Mediterranean.

Dengan gelombang panas dijangka berterusan sehingga akhir Ogos, pihak berkuasa di seluruh rantau memberi amaran bahawa angka korban, kerosakan harta benda dan krisis kesihatan awam boleh meningkat jika langkah pencegahan tidak dipertingkatkan segera. - AFP

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!