Amal ketelusan gaji, harta penjawat awam elak rasuah

SHAH ALAM - Kerajaan dicadang agar mengamalkan ketelusan gaji dan harta pegawai awam secara terbuka untuk mengurangkan ruang penyelewengan.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Rasuah Busters Selangor, Zairudin Hashim berkata, ini kerana kes-kes yang berlaku menunjukkan masalah tersebut masih berakar umbi.
Menurutnya, rasuah di Malaysia merupakan isu serius yang memberi kesan langsung kepada pembangunan ekonomi, kepercayaan rakyat terhadap institusi dan imej negara pada mata dunia.
"Ada beberapa faktor yang menyebabkan rasuah tidak pernah terhenti antaranya sikap tamak dan keinginan memperkayakan diri dengan cepat.
"Dalam masa sama penguatkuasaan undang-undang yang lemah selain budaya ‘tak apa’ dan masyarakat menganggap rasuah perkara biasa.
"Oleh itu, perlunya hukuman yang lebih berat berkaitan kesalahan rasuah. Sikap yang menggunakan jawatan untuk kepentingan diri sangat tidak boleh diterima," katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, dua ahli perniagaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah lebih RM3.6 juta berkaitan Program Bantuan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).
Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy, berkata suspek lelaki dan wanita berusia lingkungan 50-an itu ditahan sekitar jam 11 pagi ketika hadir di pejabat SPRM Sabah untuk dirakam keterangan.
Tambah Zairudin, setiap institusi perlu memupuk integriti sebagai teras Petunjuk Prestasi Utama (KPI) organisasi, bukan sekadar pencapaian kewangan.
Jelasnya, organisasi bertanggungjawab untuk menyediakan latihan dan kesedaran berterusan tentang risiko dan kesan rasuah.
"Seterusnya, mewujudkan sistem ganjaran kepada pekerja yang menunjukkan ketelusan dan prestasi bersih.
"Perlu diberi perhatian juga mengenai penguatkuasaan 'zero tolerance policy' terhadap rasuah pada semua peringkat dan mempastikan audit dalaman dilakukan secara berkala serta bebas," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

