Kes Zara Qairina: KPM tempatkan sementara pengurusan SMKA Tun Datu Mustapha di JPN Sabah

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan (KPM) akan menempatkan Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PK HEM) serta semua warden SMKA Tun Datu Mustapha di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah buat sementara waktu hingga siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selesai.
KPM dalam satu kenyataan memaklumkan, keputusan itu dibuat susulan pengumuman Pasukan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang telah mengambil alih siasatan kes pelajar Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.
"Kementerian akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi memastikan siasatan dilaksanakan secara menyeluruh, teliti dan tuntas.
"Sebagaimana yang telah ditegaskan, kes tersebut merupakan keutamaan KPM pada masa ini.
"KPM berharap siasatan telus dan sepenuhnya dapat dilaksanakan demi memberikan keadilan buat keluarga serta semua pihak terlibat," katanya pada Rabu.
Sebelum ini, Zara Qairina ditemukan tidak sedarkan diri di longkang berhampiran asrama sekolah agama tempatnya belajar pada pagi 16 Julai lalu, sebelum pelajar Tingkatan Satu itu disahkan meninggal dunia pada keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).
Kematian pelajar Tingkatan Satu itu mencetuskan perhatian meluas susulan dakwaan berlaku insiden buli membabitkan pelajar senior di sekolah berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

