Tidak hormat lagu Negaraku, dua individu dirakam keterangan

Kenyataan media yang dikeluarkan oleh SKMM.
Kenyataan media yang dikeluarkan oleh SKMM.
A
A
A

SHAH ALAM- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah merakam keterangan dua individu bagi membantu siasatan berhubung penyiaran satu video di media sosial yang didakwa memaparkan nyanyian dalam bentuk mempersenda dan tidak menghormati lagu kebangsaan, Negaraku.

Menerusi satu kenyataan, sesi rakaman keterangan telah dijalankan di Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya pada Selasa.

“Satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM telah disita bagi tujuan siasatan.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara hingga dua tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

SKMM juga menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang mempersenda atau memperlekeh lagu kebangsaan, selaras dengan Seksyen 8 Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang menetapkan kewajipan menghormati lagu tersebut oleh setiap warganegara.

Orang ramai turut diingatkan untuk sentiasa menghormati lagu Negaraku sebagai tanda kesetiaan dan cinta kepada tanah air, serta mengelakkan daripada melakukan atau menyebarkan sebarang perbuatan yang boleh dianggap tidak menghormati lagu kebangsaan.

Sebelum ini, pempengaruh Choo Hao Ren memohon maaf atas tindakannya merakam video dan bergurau semasa lagu kebangsaan dimainkan di sebuah acara.

Dia mengakui perbuatan itu tidak wajar dan sepatutnya menyanyikan lagu kebangsaan dengan penuh hormat.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!