Tipu daya 'Umi Cinta' janji masuk syurga jika bayar RM259

BEKASI - Seorang wanita yang memimpin kumpulan ajaran sesat meraih perhatian ramai, baru-baru ini.
Individu dikenali sebagai PY yang mesra disapa Umi Cinta menjadi tumpuan penduduk Dukuh Zamrud, Kelurahan Cimuding, Kecamatan Mustikajaya, Bekasi, Jawa Barat di Indonesia kerana menjalankan aktiviti sedemikian.
Kegiatan tersebut dikatakan sudah berlarutan selama lapan tahun di sebuah rumah dan mempunyai kira-kira 70 pengikut.
Menurut penduduk setempat, Umi Cinta pernah cuba mengadakan kegiatan serupa di wilayah lain, namun diusir orang ramai.
Difahamkan, komuniti di kawasan itu mula resah selepas wanita tersebut menjanjikan masuk syurga dengan bayaran 1 juta rupiah (RM259).
Bagi mengelakkan lebih ramai orang terpedaya, penduduk bertindak mengadakan protes di hadapan rumah Umi Cinta pada akhir minggu lalu dan membawa sepanduk tertera tandatangan yang membantah ajaran sesat berkenaan.
Tribun Jakarta melaporkan wanita itu bagaimanapun tiada di rumahnya yang bercat hijau dengan corak berwarna kuning.
"Tabiat pengikutnya berubah serta-merta. Ada isteri yang meminta cerai dan anak-anak derhaka kepada orang tua mereka," kata penduduk dikenali sebagai Abdul.
Sebelum ini, aliran sesat Pangissengana Tarekat Ana’ Loloa di Desa Bonto Somba, Kecamatan Tompobulu, Kabupaten Maros, Sulawesi Selatan juga menjadi tumpuan setelah ia mengajarkan 11 Rukun Islam yang berbeza.
Pemimpinnya juga mengajak para pengikutnya untuk mengerjakan haji di Gunung Bawakaraeng untuk menggantikan ibadah di Makkah.
Laporan pihak berkuasa telah dibuat ke atas pemimpinnya, namun dia dikatakan terus merekrut anggota baharu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

