Hukum sekali individu tonton, rakam kes buli

FENOMENA buli di Malaysia semakin membimbangkan apabila saban tahun, kes demi kes dilaporkan.
Lebih mengejutkan, beberapa kes buli terkini yang dilaporkan, turut melibatkan kematian mangsa dipercayai akibat penderaan fizikal dan mental yang melampau.
Justeru, situasi ini tidak lagi boleh dianggap 'biasa' kerana ia jelas merupakan satu jenayah serius yang memerlukan tindakan tegas, segera dan menyeluruh.
Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, insiden buli bukan sahaja berlaku di sekolah, malah di asrama, universiti, kem latihan, malah turut melibatkan pusat latihan pasukan beruniform.
Mangsa kebiasaannya mengalami kecederaan fizikal yang teruk, trauma psikologi berpanjangan, malah ada yang berakhir dengan kehilangan nyawa.
Namun apa yang lebih parah, ada pembuli yang terlepas daripada hukuman yang sewajarnya akibat kekangan undang-undang atau sikap sambil lewa pihak tertentu.
Antara punca utama ialah tindakan pihak tertentu yang menjadikan budaya buli ini ibarat perkara yang 'perlu' dilakukan bagi menggambarkan ‘hierarki kuasa’ yang memisahkan golongan senior dengan junior selain merasakan mereka berhak ‘mengajar’ junior dengan cara kasar.
Media sosial pula memperlihatkan kecenderungan sebilangan individu untuk merakam dan menyebarkan insiden buli, seolah-olah ia satu bahan hiburan.
Hal ini bukan sahaja menggalakkan pembuli lain meniru perbuatan itu, malah memalukan mangsa secara berulang melalui pendedahan digital.
Selain itu, faktor kelemahan penguatkuasaan dan kelewatan dalam tindakan disiplin turut menjadi penyumbang.
Malah dalam sesetengah kes, ada insiden buli yang cuba ditutup bagi menjaga reputasi institusi yang akhirnya menyebabkan pembuli bebas dan berpotensi melakukan jenayah sama berulang kali lagi.
Justeru, melihat kepada situasi semasa, pindaan terhadap undang-undang berkaitan buli perlu dilaksanakan segera.
Sebagaimana yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan (Seksyen 323, 324, 325 dan 326), perbuatan mencederakan orang lain sudah pun merupakan satu kesalahan, namun definisi buli masih perlu diperincikan.
Dalam pada itu, kerajaan turut disarankan agar menambah baik undang-undang dengan memasukkan hukuman lebih berat bagi kes buli yang mengakibatkan kecederaan serius atau kematian, termasuk hukuman penjara yang lebih lama termasuk dan denda.
Malah, hukuman ini turut boleh dikenakan kepada mereka yang bersubahat, menyaksikan, atau merakam kejadian tanpa membantu mangsa.
Selain itu, proses pemulihan mandatori seperti kaunseling intensif, khidmat masyarakat, dan program rehabilitasi bagi pembuli muda perlu diadakan selain hukuman yang setimpal.
Hari ini, negara seperti Jepun dan Singapura telah memperkenalkan undang-undang khusus antibuli yang membolehkan pihak berkuasa bertindak pantas tanpa menunggu siasatan berlarutan.
Malaysia perlu mencontohi ketegasan ini dalam usaha memutuskan rantaian jenayah buli.
Bagaimanapun, undang-undang yang tegas sahaja tidak cukup jika tiada keberanian untuk melaporkan kejadian buli.
Oleh itu, sebagai kesimpulannya, buli adalah jenayah, bukan kenakalan.
Setiap kes yang berlaku adalah amaran bahawa sistem sedia ada belum cukup berkesan dan memerlukan pindaan hukuman dan penguatkuasaan yang lebih ketat dilaksanakan segera, tanpa kompromi.
Masa untuk memberi alasan sudah tamat. Masyarakat perlu bertindak sekarang bagi memastikan isu buli dibanteras sepenuhnya.
*Shahrizal Ahmad Zaini ialah wartawan Sinar Harian Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
