Iktiraf buli sebagai keganasan serius, sistemik - MCA

Hang Soon
Hang Soon
A
A
A

SHAH ALAM – Perlakuan buli perlu diiktiraf sebagai satu bentuk keganasan yang serius dan sistemik, bukan hanya sebagai usikan tidak berbahaya.

Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Penyelidikan Dasar Awam dan Kehidupan Rakyat MCA, Datuk Dr Mah Hang Soon menegaskan bahawa ini kerana perlakuan tersebut berakar umbi daripada penyalahgunaan kuasa, sikap sambil lewa institusi dan penerimaan senyap terhadap tingkah laku yang memudaratkan.

"Pihak berkuasa, sekolah dan komuniti mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan setiap pelajar dilindungi daripada sebarang bentuk ancaman fizikal atau dalam talian.

“Kita tidak boleh membiarkan tragedi yang menimpa Zara Qairina menjadi sekadar berita.

"Menangani buli memerlukan komitmen berterusan, bukan reaksi jangka pendek hanya kerana tekanan atau kemarahan awam,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Hang Soon yang juga Naib Presiden MCA menegaskan bahawa pendekatan termasuk audit keselamatan secara berkala dan bebas diperlukan bagi memastikan langkah pencegahan, saluran aduan serta protokol perlindungan bukan sahaja wujud tetapi dilaksanakan dengan berkesan.

Menurutnya, tragedi yang berlaku juga harus menjadi pengajaran kepada semua pihak untuk memastikan keadilan ditegakkan tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Sekolah mesti menjadi tempat perlindungan untuk pembelajaran dan bukan tempat ketakutan.

"Kita mesti memikul tanggungjawab bersama untuk melindungi belia Malaysia daripada sebarang bentuk buli.

Artikel Berkaitan:

"Buli mesti ditangani kerana ia telah berkembang menjadi bentuk yang lebih berbahaya, termasuk serangan fizikal dan gangguan dalam talian," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!