Pemasangan CCTV pilihan popular atasi masalah buli di sekolah

SHAH ALAM - Pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan strategik sekolah menjadi pilihan utama rata-rata pengguna media sosial sebagai usaha mengatasi masalah buli di premis pendidikan tersebut.
Menerusi tinjauan pendapat yang dijalankan di empat platform digital Sinar Harian melibatkan Facebook, Instagram, X, dan YouTube bermula Isnin dalam tempoh 24 jam, didapati pilihan tersebut mencatatkan lebih 40 peratus undian.
Di YouTube, 43 peratus daripada 707 pengundi memilih cadangan berkenaan, manakala 40 peratus berpandangan melantik warden daripada bekas anggota tentera atau polis sebagai jalan penyelesaian.
Selain itu, 10 peratus memilih sistem laporan rahsia melalui aplikasi atau telefon tanpa mendedahkan identiti pelapor, manakala enam peratus memilih penyediaan butang kecemasan di setiap kelas atau asrama.
Sementara itu, di aplikasi X, 53 peratus daripada 221 pengundi memilih pemasangan peranti berkenaan sebagai jalan penyelesaian, manakala 26 peratus berpandangan sistem laporan tanpa mendedahkan identiti pelapor merupakan tindakan terbaik.
Di samping itu, 16 peratus pengundi memilih kaedah melantik warden daripada bekas anggota tentera atau polis, manakala lima peratus memilih penyediaan butang kecemasan.
Di Instagram pula, 29 peratus daripada 207 pengundi memilih pemasangan CCTV di kawasan strategik sekolah, 36 peratus memilih penggunaan sistem laporan rahsia tanpa mendedahkan identiti pelapor, 25 peratus memilih melantik warden daripada bekas anggota tentera atau polis, dan hanya 10 peratus memilih penyediaan butang kecemasan.
Facebook pula merekodkan seramai 36 pengguna yang mengambil bahagian dengan pilihan popular adalah melantik warden daripada bekas anggota tentera atau polis (45 peratus), diikuti pemasangan CCTV di kawasan strategik sekolah (42 peratus), penggunaan sistem laporan rahsia melalui aplikasi atau telefon tanpa mendedahkan identiti pelapor (lapan peratus) dan penyediaan butang kecemasan di setiap kelas atau asrama (satu peratus).
Walaupun tinjauan yang dilaksanakan berskala kecil dan tidak mewakili keseluruhan populasi, ia memberikan gambaran awal mengenai sentimen masyarakat, khususnya dalam kalangan pengguna media sosial.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
