[VIDEO] Kes Zara Qairina: Pembangkang tuntut polis jelaskan keputusan tidak bedah siasat

A
A
A

KUALA LUMPUR – Pembangkang menuntut penjelasan daripada pihak polis mengenai alasan tidak mengarahkan bedah siasat ke atas jenazah pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir yang ditemui meninggal dunia di sekolahnya di Sabah bulan lalu.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, proses bedah siasat seharusnya dijalankan tanpa sebarang permintaan daripada mana-mana pihak.

"Itu adalah prosedur biasa dalam kes kematian mengejut. Tapi dalam hal ini, kita nak tahu kenapa pihak polis tidak menjalankan bedah siasat ini," katanya ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 di Dewan Rakyat pada Selasa.

Pasukan khas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada Isnin dilapor telah dihantar ke Kontinjen Sabah bagi mengambil alih siasatan kes kematian Zara Qairina.

Jenazah Allahyarhamah dibedah siasat selama lapan jam di Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada Ahad selepas jasadnya digali semula dari kubur.

Allahyarhamah sebelum ini ditemui tidak sedarkan diri dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di hospital sehari selepas itu.

Takiyuddin
Takiyuddin

Takiyuddin yang juga Ketua Whip PN mendakwa tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) memulangkan kertas siasatan polis dengan arahan supaya mereka melengkapkan siasatan turut membuktikan bahawa agensi itu tidak melakukan tugas yang sepatutnya dalam kes berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Justeru, beliau turut menggesa Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pendidikan membentangkan kepada Dewan Rakyat laporan terperinci berhubung kes terbabit.

Datuk Seri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) terdahulu ketika mencelah perbahasan Takiyuddin turut bertanya Setiausaha Agung Pas itu sama ada beliau bersetuju dengan cadangan untuk menggesa Ketua Polis Negara mengarahkan siasatan menyeluruh bagi mengetahui punca kelemahan dan intipati kelemahan dalam siasatan yang terdahulu.

"Setujukah Yang Berhormat Kota Bharu supaya siasatan ke atas siasatan sebelumnya hendaklah merangkumi perkara-perkara seperti mengenal pasti pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam siasatan yang tidak dilaksanakan dengan sempurna itu?

"Mengenal pasti individu yang telah mengeluarkan arahan yang membawa kepada kelemahan siasatan dan menentukan sama ada terdapat campur tangan daripada mana-mana pihak luar yang mengakibatkan kelemahan siasatan berkenaan serta menetapkan tindakan tatatertib atau hukuman sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pelanggaran prosedur atau salah laku," soalnya.

Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) turut bangkit menyatakan pendiriannya dalam kes kematian Zara Qairina.

Beliau berpandangan sememangnya berlaku pengabaian secara terang-terangan kepada proses dan prosedur kes.

"Ini yang mengundang persepsi dan tanggapan rakyat dan seolah-olah ada sesuatu yang disembunyikan. Sebab itu teguran daripada masyarakat perlu diambil kira. Siasatan ke atas siasatan perlu dilakukan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!