[VIDEO] Perak miliki helipad pertama dalam hutan simpan bantu operasi kebakaran

A
A
A

GERIK – Perak mencatat sejarah apabila memiliki tapak pendaratan helikopter (helipad) pertama di Semenanjung Malaysia yang dibina dalam kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) bagi membantu operasi pemadaman kebakaran hutan.

Helipad yang terletak di Hutan Simpanan Kekal Kenderong, Hulu Perak dengan kemudahan telaga tiub itu dibangunkan hasil kerjasama strategik antara Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak.

Penolong Pengarah (Ladang Hutan dan Inovasi) JPNPk, Mohamad Farhan Sukiman berkata, pembinaan helipad berkenaan dilaksanakan bersama kemudahan telaga tiub sebagai sebahagian Projek Pembinaan Infrastruktur dan Perolehan Kelengkapan Kebakaran Hutan di Perak.

“Lokasi ini dipilih kerana agak strategik untuk operasi udara memadam kebakaran di sekitar Gunung Kenderong yang kerap berlaku kebakaran dan terletak di jajaran Gerik-Kupang.

"Dengan adanya kemudahan ini, masa operasi udara untuk memadamkan kebakaran dapat dipendekkan daripada 10 minit kepada hanya tiga minit pergi dan balik,” katanya kepada pemberita.

Mohamad Farhan (menyerahkan replika kunci kepada Shazlean sempena Program Ujikaji Tapak Pendaratan Helikopter dan Telaga Tiub di Hutan Simpan Kekal Kenderong, di sini pada Selasa.
Mohamad Farhan (menyerahkan replika kunci kepada Shazlean sempena Program Ujikaji Tapak Pendaratan Helikopter dan Telaga Tiub di Hutan Simpan Kekal Kenderong, di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian sempena Program Ujikaji Tapak Pendaratan Helikopter dan Telaga Tiub di Hutan Simpan Kekal Kenderong, di sini pada Selasa.

Hadir sama Timbalan Pengarah JMG Perak, Badrol Mohamad; Ketua Seksyen (Perlindungan dan Pengembangan) Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan JPSM, Mohd Khairul Abdullah serta Pemangku Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Perak, Shazlean Mohd Hanafiah.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Farhan berkata, sebelum ini operasi pemadaman kebakaran di hutan simpan berhampiran terpaksa mengambil masa kerana sumber air diambil dari Sungai Perak menerusi Banding.

Menurutnya, telaga tiub yang dibina berhampiran helipad itu menyediakan sumber air berterusan sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber terbuka seperti Sungai Perak dan Tasik Banding.

Menurutnya, JMG memainkan peranan penting dalam menentukan lokasi telaga tiub berdasarkan kajian geologi, melaksanakan kerja penggerudian, pemasangan sistem sokongan serta ujian pengepaman bagi memastikan bekalan air mencukupi.

"Infrastruktur ini dibina dengan standard keselamatan tinggi dan bersedia digunakan pada bila-bila masa bagi operasi kecemasan.

"Ini membuktikan kerjasama erat antara agensi persekutuan dan negeri mampu menghasilkan projek berimpak tinggi,” katanya.

Katanya, helipad tersebut dicadangkan oleh JBPM Negeri Perak sebagai langkah memperkukuh kesiapsiagaan bencana manakala JPNPk menyelaras pengurusan lokasi dan pelaksanaan teknikal di tapak projek.

Jelasnya, inisiatif itu dilihat sebagai model kolaborasi rentas agensi yang boleh dicontohi dalam usaha pengurusan bencana, perlindungan hutan serta kelestarian alam sekitar di masa hadapan.

Beliau berkata, infrastruktur yang siap dibangunkan pada September 2024 di kawasan berkeluasan 0.2 hektar itu membabitkan peruntukan hampir RM400,000.

Sementara itu, Shazlean mengakui sebelum ini pihak JBPM mengalami kesukaran untuk mendapatkan sumber paling hampir dengan kawasan kebakaran.

Menurutnya, dengan kemudahan telaga tiub berkenaan ia dapat mengurangkan masalah untuk mendapatkan air.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!