Lelaki ditahan curi coklat RM39

AMPANG – Seorang lelaki ditahan kerana disyaki mencuri coklat bernilai RM39 di sebuah pasar raya di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari itu, anggota unit peronda polis (MPV) menerima maklumat berhubung kecurian tersebut dan bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota bertugas berjumpa dengan pengadu dan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun sebelum menyerahkan suspek.
“Anggota polis memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa dan meminta suspek menunjukkan dokumen pengenalan diri untuk tujuan pemeriksaan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Mohd Azam berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek tidak menemui sebarang barang salah dan polis telah merampas barangan curi tersebut.
“Suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
