Empat ditahan kes seleweng diesel

Sebuah lori yang diubah suai dengan tangki tambahan yang disita KPDN pada Isnin. Foto: KPDN Selangor
Sebuah lori yang diubah suai dengan tangki tambahan yang disita KPDN pada Isnin. Foto: KPDN Selangor
A
A
A

KLANG - [DIKEMAS KINI] Kegiatan penyelewengan diesel tumpas susulan tangkapan empat suspek dengan rampasan bernilai RM100,000 hasil serbuan di dua premis sekitar daerah ini pada Isnin.

Operasi serentak itu dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor bersama Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor bermula jam 7 malam hasil maklumat dan risikan selama sebulan.

Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, serbuan pertama melibatkan penahanan sebuah lori yang sedang mengisi diesel di sebuah stesen minyak di Pelabuhan Klang, manakala lokasi kedua ialah stor haram di Kampung Telok Gong.

Menurutnya, pemeriksaan ke atas lori kanvas itu mendapati ia telah diubah suai dengan muatan dua unit tangki 'intermediate bulk container' (IBC) dan satu tangki 'steel square tank'.

“Pengubahsuaian ini dipercayai bagi tujuan mengisi bahan api jenis diesel yang dibeli dari stesen-stesen minyak lain untuk tujuan penyelewengan dan dijual bagi mengaut keuntungan.

“Hasil pembelian itu, lori terbabit akan menuju ke stor untuk pemindahan ke dalam ‘skid tank’ di stor berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, empat lelaki terdiri daripada dua warga tempatan serta masing-masing seorang warga Bangladesh dan Indonesia, berusia lingkungan 35 hingga 45 tahun telah ditahan.

Jelasnya, kesemua mereka dipercayai berperanan sebagai pemandu lori, kelindan dan penjaga premis.

“Sitaan telah dibuat ke atas sebuah lori, dua unit IBC berisi disyaki bahan api diesel, satu unit ‘square tank’ dan empat unit ‘skid tank’, selain 46,000 liter diesel bernilai RM100,000,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan siasatan akan memfokuskan untuk mengenal pasti individu, syarikat serta rantaian pengedaran bekalan minyak diesel bersubsidi termasuk sumber bekalan tersebut diperoleh dan diedarkan.

“KPDN Selangor memberi amaran keras kepada mana-mana individu atau syarikat agar sentiasa mematuhi perundangan yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!