Sindiket seleweng diesel tumpas, nilai rampasan lebih RM600,000

Tangki skid dan pam penyedut beserta getah paip yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel secara haram.
Tangki skid dan pam penyedut beserta getah paip yang dipercayai digunakan untuk memindahkan diesel secara haram.
A
A
A

PETALING JAYA – Tindakan sindiket menyeleweng dan menyimpan minyak diesel secara haram terbongkar selepas Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih menyerbu dua lokasi berasingan di Jalan PJU 1/23 di sini pada Selasa.

Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintenden Jafri Muhamad berkata, operasi itu dilaksanakan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Petaling Jaya bermula jam 12.30 tengah malam.

"Dalam operasi pertama, kita menahan empat lelaki termasuk dua lelaki warga Myanmar. Pemeriksaan di premis tersebut menemukan kira-kira 2,500 liter minyak diesel bersama dua kepala lori, sebuah lori, empat tangki IBC, sebuah tangki skid, dua pam penyedut jenis digital serta lima telefon bimbit pelbagai jenama.

"Serbuan kedua pula kita menemui 8,000 liter minyak diesel bersama sebuah tangki skid dan pam penyedut beserta getah paip yang dipercayai digunakan untuk memindahkan serta menyimpan diesel secara haram," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Jafri berkata, keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM602,220.

"Kesemua tangkapan serta barangan dirampas dibawa ke IPD Petaling Jaya dan KPDNHEP Petaling Jaya untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

"Orang ramai diseru supaya menyalurkan maklumat kepada polis berhubung sebarang aktiviti menyalahi undang-undang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!