MEV kepada pekerja Bangladesh bukti penghargaan Malaysia

Anwar (kanan) mengadakan mesyuarat dua hala bersama Muhammad Yunus di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra pada Selasa. Foto Bernama
Anwar (kanan) mengadakan mesyuarat dua hala bersama Muhammad Yunus di pejabatnya di Kompleks Perdana Putra pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kemudahan Kemasukan Visa Berganda (MEV) yang diberikan kepada pekerja asing dari Bangladesh menjadi bukti penghargaan Malaysia terhadap sumbangan besar golongan itu dalam pembangunan ekonomi negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan kemudahan berkenaan dipersetujui bersama Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia bagi memudahkan pekerja asing pulang bertemu keluarga selain menjamin kelangsungan pekerjaan mereka.

“Kerajaan Bangladesh telah mengemukakan beberapa cadangan dan kami memberikan keutamaan khususnya untuk membantu pekerja yang terkandas.

“Pekerja Bangladesh memainkan peranan penting membantu pembangunan negara. Kemudahan visa ini memberi peluang mereka pulang berjumpa keluarga dan kembali bekerja dengan rasa lebih terjamin,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata demikian menerusi sidang akhbar di Kompleks Perdana Putra bersama Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Dr Muhammad Yunus, sempena lawatan rasmi tiga hari ke negara ini.

Kemudahan MEV mula diberikan kepada pekerja Bangladesh berkuat kuasa 8 Ogos lalu sebagai langkah memperkukuh pengurusan keluar masuk pekerja asing yang sah.

Inisiatif itu turut mengurangkan risiko penyalahgunaan pas imigresen melalui sistem pemantauan lebih sistematik apabila diselaraskan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pintu masuk antarabangsa bagi pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang masih sah.

Selain isu pekerja, Anwar memaklumkan kedua-dua negara bersetuju memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk tenaga, sektor halal serta Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Kerjasama itu turut merangkumi penyelidikan dan semikonduktor, di samping usaha menangani isu kemanusiaan pelarian Rohingya di rantau ini.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, Malaysia prihatin terhadap beban besar yang ditanggung Bangladesh dalam menampung jumlah pelarian Rohingya yang ramai.

“Memastikan keamanan di Myanmar adalah keutamaan besar selain menyediakan bantuan kemanusiaan segera kepada mangsa yang menderita, bermula dengan pelarian dan mangsa gempa bumi.

“Menteri Luar Negeri Malaysia akan menyelaras pasukan bersama Indonesia, Filipina dan Thailand untuk mengadakan lawatan ke Myanmar dalam beberapa minggu akan datang, bagi memastikan keamanan dapat dicapai serta menyelesaikan kekejaman terhadap kumpulan etnik dan rakyat Myanmar secara aman,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!