Wanita bunuh 11 suami demi harta

TEHERAN - Seorang wanita di Iran dilaporkan meracun dan membunuh 11 suaminya dalam tempoh 22 tahun kini berdepan hukuman mati.
Kolsum Akbari, 56, dilaporkan mengahwini lelaki-lelaki warga emas sebelum memberi mereka ubat tekanan darah, ubat diabetes, ubat pelali dan alkohol industri bagi mewarisi harta mereka.
Menurut laporan Dailymail pada Ahad, perbuatan kejam itu tidak dikesan selama lebih dua dekad kerana usia lanjut dan masalah kesihatan mangsa sehinggalah Akbari mengaku melakukan pembunuhan tersebut.
Dia kini menunggu keputusan hukuman, sementara keluarga mangsa menuntut agar wanita kejam terbabit dijatuhkan hukuman mati.
Bermula pada tahun 2000 hingga 2023, Akbari terus melakukan pembunuhan sehingga menjadi cuai ketika bersama suami terakhirnya, Gholamreza Babaei, 82.
Anak Babaei mula curiga selepas seorang rakan keluarga mendedahkan bahawa bapanya dahulu pernah berkahwin dengan wanita bernama Kolsum yang cuba meracunnya.
Laporan kepada polis membawa kepada penahanan Akbari, yang kemudian mengaku, walaupun memberi kenyataan bercanggah tentang jumlah mangsa.
“Saya tidak tahu berapa ramai yang saya bunuh. Mungkin 13 atau 15 orang. Saya tidak ingat dengan tepat,” katanya.
Kehidupan rumah tangganya bermula pada usia 18 tahun menerusi perkahwinan singkat dengan lelaki yang mengalami masalah kesihatan mental.
Dia kemudian berkahwin dengan lelaki lebih tua yang mempunyai anak daripada perkahwinan terdahulu dan sering dipukul oleh suami serta anak tiri.
Selepas kematian suami kedua, Akbari mencari lelaki warga emas yang kesepian melalui pertemuan wanita.
Dia berbaik dengan anak perempuan mangsa, menyiasat latar belakang kewangan mereka dan setuju berkahwin dengan mas kahwin lumayan.
Selain meracun, dia turut menjerut mangsa dengan bantal atau tuala.
Dalam banyak kes, mangsa meninggal dunia tidak lama selepas berkahwin dengannya.
Antara mangsa ialah Mirahmad Omrani, 69, yang meninggal sebulan selepas berkahwin pada 2013; Esmail Bakhshi, 62, dua bulan selepas perkahwinan pada 2016; dan Ganjali Hamzei, 83, yang meninggal 43 hari selepas bernikah.
Pada 2020, seorang lelaki terselamat selepas memakan sup beracun, namun tidak melaporkan kejadian kepada polis.
Akbari kini berdepan 11 pertuduhan membunuh dengan niat dan satu cubaan membunuh.
Mahkamah Revolusi Sari akan menjatuhkan hukuman selepas mendengar keterangan semua 45 plaintif yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

