[VIDEO] Penganggur berdepan hukuman mati, pukul bapa hingga maut

A
A
A

KUALA KRAI - Seorang penganggur berdepan hukuman mati selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas pertuduhan membunuh bapanya menggunakan kerusi kayu di Kampung Kuala Geris pada 6 Ogos lalu.

Tertuduh, Narosman Othman, 39, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razim Alias.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Krai pada Rabu. Foto Sinar Harian HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret Kuala Krai pada Rabu. Foto Sinar Harian HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Othman Jusoh, 74, di sebuah rumah di Kampung Kuala Geris, kira-kira jam 6 hingga 6.30 pagi.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Prosiding pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Hafiz Iman Asri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 10 September depan untuk laporan ujian pemeriksaan mental dan memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagian Tanjung Rambutan, Perak, bagi menjalani ujian tersebut.

Semasa pertuduhan dibaca, ibu kepada tertuduh yang hadir di mahkamah tidak dapat menahan sebak dan hampir pengsan.

Terdahulu, tertuduh yang memakai baju lokap berwarna ungu tiba di mahkamah menaiki kereta polis pada jam 9 pagi.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang warga emas maut selepas dipercayai dipukul anaknya sendiri menggunakan kerusi kayu dalam kejadian menyayat hati di Kampung Kuala Geris.

Mangsa dipercayai diserang oleh anak lelakinya di dalam rumah sekitar jam 6.30 pagi ketika sedang bersiap menunaikan solat Subuh.

Isteri mangsa, Rohana Che Daud, 63, berkata, dia menemui suaminya dalam keadaan terlentang di atas sejadah dengan kepala berlumuran darah sebaik pulang dari solat berjemaah di masjid berhampiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!