Pasang lagu merdeka macam lagu raya bila masuk bulan Ogos

MERAK Jalanan kecewa bila tiba bulan Ogos, sesetengah daripada kita tidak kisah langsung pasal bulan kemerdekaan.
Bendera tak pasang, lagu patriotik pun tak dengar, malah ada yang pasang Jalur Gemilang tergantung terbalik.
Kalau dulu setiap kali masuk bulan Ogos, pasti terdengar lagu Keranamu Malaysia atau Saya Anak Malaysia.
Merak Jalanan teringat, sebelum masuk bulan merdeka lagi, lagu-lagu itu sudah berkumandang di radio dan TV.
Sampai boleh hafal lirik. Itulah sebabnya generasi dahulu mudah menerima semangat patriotik. Lagu dan simbol kemerdekaan sentiasa dekat dengan telinga dan mata. Dari rumah sampai ke sekolah, suasana bulan Ogos memang terasa meriah.
Beza dengan sekarang, kita hanya harap kepada aktiviti di sekolah sahaja untuk mewujudkan suasana itu.
Budak-budak pula balik rumah, buka telefon dan YouTube, tengok video mengikut citarasa masing-masing.
Merak Jalanan suka bila nampak ada sekolah yang kreatif sambut bulan Ogos seperti hias pagar dengan Jalur Gemilang. Tapi kalau hanya sekolah yang buat, di luar sekolah suasananya hambar, semangat itu akan cepat pudar.
Merak Jalanan mahu lagu-lagu semangat merdeka ini kembali dipasang dengan kerap oleh radio dan TV.
Kalau waktu bulan puasa boleh pasang lagu raya sampai berhari-hari, takkan bila masuk bulan Ogos kita tak boleh buat perkara sama?
Suasana kemerdekaan bukan sekadar dekorasi dan perarakan sekali-sekala. Ia perlu dihidupkan setiap hari sepanjang bulan Ogos.
Biarlah kanak-kanak membesar dengan ingatan bahawa bulan Ogos adalah masa untuk hargai pengorbanan pejuang terdahulu.
Merak Jalanan percaya, anak yang dididik dengan semangat patriotik sejak kecil, tidak akan teragak-agak mempertahankan maruah negaranya suatu hari nanti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
