Kelewatan Seksyen 3 WCE: Kos operasi meningkat, laluan sedia ada makin sesak

Proses sambungan Seksyen 2 dan 4 WCE tergendala berikutan isu pengambil alihan tanah (bertanda merah) belum dikosongkan di Seksyen 3 berhampiran Taman Sentosa, Klang. Foto WCE
Proses sambungan Seksyen 2 dan 4 WCE tergendala berikutan isu pengambil alihan tanah (bertanda merah) belum dikosongkan di Seksyen 3 berhampiran Taman Sentosa, Klang. Foto WCE
A
A
A

SHAH ALAM – Kelewatan pembukaan Seksyen 3 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) memberi kesan terhadap operasi lebih 10,000 kenderaan perdagangan dan berat.

Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengusaha Pengangkutan Malaysia (AMH), Mohamad Azuan Masud berkata, keadaan itu bukan sahaja meningkatkan masa perjalanan, tetapi menambah kos bahan api, penyelenggaraan kenderaan dan menjejaskan jadual penghantaran.

"WCE merupakan infrastruktur strategik yang dirancang untuk menyokong kelancaran sektor logistik di sepanjang pantai barat.

"Penangguhan ini memberi kesan besar kepada pengusaha pengangkutan terutama yang memerlukan akses pantas ke dan dari Pelabuhan Klang," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan, syarikat konsesi West Coast Expressway Sdn Bhd komited menyelesaikan isu akses tanah di Seksyen 3 lebuh raya itu berhampiran Taman Sentosa, Klang yang sebelum ini menghalang penyambungan projek.

WCE memaklumkan, pertikaian berhubung pengosongan tanah membabitkan kira-kira 300 meter jajaran itu berlaku walaupun pampasan penuh sudah dibayar kepada pemilik tanah terbabit pada September 2023.

Dalam pada itu Mohamad Azuan menjelaskan, seksyen berkenaan menjadi laluan penting yang dijangka mampu mengurangkan kesesakan di Jalan Persekutuan, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya NKVE dan Lebuhraya Shah Alam, terutama bagi pergerakan kenderaan perdagangan dari kawasan perindustrian ke Pelabuhan Klang.

Walaupun memahami proses pengambilan tanah adalah rumit, beliau menegaskan, semua pihak perlu mencari penyelesaian segera demi kepentingan ekonomi negara.

"Pihak berkuasa termasuk Kementerian Kerja Raya, kerajaan negeri, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi perlu mempercepatkan usaha menyelesaikan isu tanah supaya projek itu dapat disiapkan mengikut jadual.

Artikel Berkaitan:

"Komitmen persatuan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan pemain industri bagi mengurangkan kesan kelewatan serta memastikan sektor logistik dan pengangkutan negara terus berdaya saing," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!