Kes bendera terbalik SJKC Chung Hua: Polis serah kertas siasatan kepada pendakwaan

Laporan Sinar Harian berkenaan permohonan maaf SJKC Chung Hua.
Laporan Sinar Harian berkenaan permohonan maaf SJKC Chung Hua.
A
A
A

PORT DICKSON - Polis telah menghantar kertas siasatan berhubung kes bendera terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di daerah ini pada 1 Ogos lalu kepada Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Negeri Sembilan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, Deputi Superintenden Mohd Ruslan Mat Kib berkata, pihaknya akan menunggu arahan lanjut daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk tindakan seterusnya.

“Pada hari ini, jam 9 pagi, kertas siasatan telah dirujuk dan ditaklimatkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, dan telah mendapat arahan untuk menyambung rakaman percakapan seorang saksi serta merakam percakapan seorang lagi saksi.

“Kertas siasatan akan dirujuk kembali petang ini kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan untuk arahan dan kajian lanjut,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, sepanjang proses siasatan, seramai empat individu dipanggil bagi memberi keterangan termasuk pekerja yang memasang bendera terbabit dan seorang guru.

Jelas beliau, siasatan dilakukan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Penggunaan Tidak Wajar) 1963, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sebelum ini, media melaporkan SJKC Chung Hua memohon maaf kepada seluruh masyarakat atas kesilapan memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sekolah terbabit.

Lembaga Pengelola, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), serta pihak sekolah dalam kenyataan mereka turut menyatakan kekesalan atas insiden tersebut dan memaklumkan bahawa kesilapan telah pun dibetulkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!