X

Kindly register in order to view this article
!

Laungan azan diteruskan di semua masjid, surau di Pahang

Abdul Rahman
A
A

KUANTAN - Laungan azan akan dilakukan seperti biasa pada setiap waktu di masjid dan surau di seluruh Pahang walaupun aktiviti keagamaan dibatalkan akibat virus koronavirus (Covid-19).

Mufti Negeri Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang semalam.

Bagaimanapun katanya, semua aktiviti di masjid dan surau termasuk solat Jumaat dan solat berjemaah ditangguhkan bermula hari ini sehingga 31 Mac.

"Semua umat Islam di negeri ini disarankan menunaikan solat jemaah di rumah dalam tempoh itu atas nasihat dan pandangan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya melalui satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di Facebook Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Abdul Rahman berkata, pada mesyuarat berkenaan, garis panduan pengurusan jenazah mangsa virus Covid-19 di negeri ini turut dikeluarkan.

“Sekiranya berlaku kematian akibat Covid-19, pengurusan jenazah perlu dilaksanakan mengikut keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang yang bersidang pada 14 Mei 2015 mengenai hukum pengurusan jenazah orang Islam yang disyaki atau disahkan dijangkiti virus Ebola (Ebola Virus Disease: EVD) di Malaysia.

“Pengurusan boleh dilakukan melalui prosedur tayamum di atas permukaan beg jenazah atau pembalut plastik yang membalutnya bagi mengelakkan kemungkinan kemudaratan kepada mereka yang menguruskan jenazah,” katanya.

Menurutnya, semua keputusan yang diambil itu terpakai di seluruh negeri atas perkenan Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sementara itu, pihak pengurusan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 dalam satu kenyataan memaklumkan, masjid itu akan ditutup dalam tempoh ditetapkan selaras dengan keputusan terbaru Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang semalam.

Semua aktiviti di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 akan ditangguhkan sementara mulai hari ini termasuk solat jemaah lima waktu, solat Jumaat dan kelas agama.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!