Pemadam disaran bangun portal, app pintar cegah dadah

Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Agung Dwitahunan Pemadam Kebangsaan ke-46 malam ini. - Foto: Bernama
Ahmad Zahid ketika berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Perhimpunan Agung Dwitahunan Pemadam Kebangsaan ke-46 malam ini. - Foto: Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) perlu menubuhkan pasukan komunikasi digital di setiap negeri sebagai langkah untuk kekal relevan dalam menyampaikan maklumat mengenai bahaya penggunaan dadah kepada golongan muda.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, komunikasi masa kini perlu bersifat dua hala bukan sekadar menggunakan pendekatan konvensional seperti ceramah atau edaran risalah, memandangkan kaedah digital semakin mendapat perhatian masyarakat.

Justeru, katanya, keperluan meningkatkan penggunaan platform digital sebagai medan utama pencegahan dadah amat penting, selain membangunkan sistem sokongan pemulihan komuniti dan memerkasakan modul latihan sukarelawan.

Menurut beliau, ancaman semasa bukan sahaja melibatkan ganja atau heroin, tetapi juga dadah sintetik, bahan psikoaktif baharu, pil khayal dan yang paling membimbangkan, pengedaran secara senyap melalui algoritma TikTok, Telegram serta platform media sosial lain.

“Sasaran sindiket juga berubah. Mereka bukan hanya berurusan dengan remaja liar atau gelandangan di lorong gelap, tetapi anak-anak kita yang berpakaian sekolah, mahasiswa universiti bahkan golongan profesional.

“Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), lebih 65 peratus penagih baharu adalah remaja dan belia manakala kajian menunjukkan golongan berusia 19 hingga 39 tahun menyumbang sekitar 68 peratus daripada jumlah keseluruhan penyalahgunaan dadah.

“Ini bukan sekadar data tetapi panggilan kecemasan bahawa generasi muda sedang terancam. Ini masanya untuk mewujudkan pasukan komunikasi di setiap negeri, mengadakan kerjasama strategik dengan pempengaruh media sosial, membangunkan portal maklumat bersepadu dan aplikasi pintar Pemadam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Dwitahunan Pemadam Kebangsaan ke-46 di Dewan Sri Siantan, Perbadanan Putrajaya pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

Majlis meraikan sambutan ulang tahun Jubli Emas Pemadam yang ke-50 itu turut dihadiri Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan.

Ahmad Zahid berpendapat, Pemadam juga perlu mengukuhkan kerjasama dengan sektor swasta bukan sahaja sebagai penaja program, tetapi sebagai rakan advokasi.

Tambahnya, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tidak lagi mencukupi dengan derma tahunan atau aktiviti menanam pokok, sebaliknya mesti disertai elemen mendidik dan membimbing generasi antidadah.

“Kita mahu mereka melihat pelaburan dalam Pemadam sebagai pelaburan sosial jangka panjang untuk melahirkan tenaga kerja bersih, komuniti sihat dan negara yang selamat.

“Dalam dunia hari ini, imej menentukan impak. Maka Pemadam perlu membina semula identiti organisasinya agar kekal diyakini, terutama dalam kalangan generasi muda,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!