Pemadam lantik jawatankuasa baharu, Shahidan Kassim Timbalan Yang Dipertua

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) bagi sesi 2025-2029, menewaskan peguam, Datuk Adnan Seman.
Setiausaha Agung Pemadam, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, Shahidan memperoleh 476 undi, manakala Adnan mendapat 255 undian menerusi pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pemadam Kebangsaan.
Menurut beliau, tiga jawatan Naib Yang Dipertua pula ialah Pengerusi Pemadam Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dengan 468 undi; Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr Mohd Shafry Mohd Rahim (414) dan penyandang jawatan tersebut, Datuk Omar Osman (395), menewaskan lima calon lain.
“Ucapan aluan disampaikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Yang Dipertua Pemadam Kebangsaan, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, kemudian agenda diteruskan dengan pembentangan laporan tahunan.
“Selain itu, pembentangan kewangan oleh Bendahari dan seterusnya diadakan pemilihan pemegang jawatan bagi sesi 2025-2029.
“Antara usul yang dibentang dan diluluskan adalah pindaan perlembagaan Pemadam iaitu penjenamaan semula jawatan serta struktur organisasi di semua peringkat dan pengukuhan kuasa Majlis Pemadam Kebangsaan,“ katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mesyuarat Agung Pemadam kali ke-46 dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad sekali gus meraikan sambutan ulang tahun Jubli Emas yang ke-50.
Sementara itu, Hasnul Fairuz memaklumkan, Pemadam turut menggesa pengharaman rokok elektronik atau vape termasuk penjualan secara dalam talian bagi memutuskan rantaian penularan dadah sintetik di negara ini.
Tambahnya, larangan itu termasuk melibatkan sebarang aktiviti pengimportan, pengedaran, penjualan dan penggunaan vape.
“Selain itu, antara yang diusulkan adalah undang-undang khusus meliputi semua jenis vape tidak kira mengandungi nikotin atau tidak, umur minimum pembelian dinaikkan kepada 21 tahun, peruntukan dana khas Pemadam serta penubuhan Pasukan Penguatkuasa Khas di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Kami juga mengusulkan dana khas tahunan, tabung daripada aset lucut hak di bawah Akta Dadah Berbahaya, penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan korporat dengan insentif pengecualian cukai serta geran untuk negeri RM250,000 manakala RM20,000 buat peringkat daerah.
“Justeru, saya tegaskan bahawa keputusan perhimpunan ini bukti komitmen seluruh warga Pemadam dalam memperkukuh barisan kepimpinan, memperhebat pendidikan pencegahan dadah dan memastikan kelangsungan agenda Malaysia Bebas Dadah,“ ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

