Tingkat aspek hospitaliti sempena Tahun Melawat Johor 2026 - MB

JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri mahu semua pemain industri pelancongan di Johor berganding bahu dalam usaha memajukan sektor berkenaan menjelang Tahun Melawat Johor 2026.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, aspek perkhidmatan pelanggan seperti hospitaliti perlu menjadi keutamaan bagi memastikan pelancong berpuas hati dan terus memilih negeri ini sebagai destinasi pelancongan pilihan.
“Semua penggiat pelancongan di negeri ini perlu bekerjasama dalam menggembleng tenaga untuk memastikan industri pelancongan Johor dapat dipacu ke tahap lebih tinggi.
“Semuanya berkaitan perkhidmatan. Dalam apa jua bidang perniagaan, kita perlu memberikan perkhidmatan terbaik. Kalau kita gagal menyediakan perkhidmatan dan produk terbaik, kita bimbang mereka hanya datang sekali sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar Townhall Strategik Sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Hotel DoubleTree By Hilton di sini pada Khamis.
Hadir sama Exco Perpaduan, Warisan dan Budaya Johor, K Raven Kumar dan Pengarah Tourism Johor, Sharil Nizam Abdul Rahim.
Dalam pada itu, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri kini memberi tumpuan untuk memupuk budaya hospitaliti dalam kalangan rakyat Johor supaya budaya mesra pelancong dapat diterapkan di setiap lapisan masyarakat.
“Ini merupakan satu budaya baharu yang sedang kita tekankan bagi mengalu-alukan kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara ke Johor.
"Pada masa sama, sebanyak 15 projek pelancongan baharu dengan peruntukan RM67.6 juta bagi 2024 dan 18 projek bernilai RM48.75 juta pada 2025 sedang dilaksanakan.
“Pembangunan ini bertujuan untuk menaik taraf kemudahan awam, mempertingkatkan tarikan pelancongan serta memperkukuhkan pengalaman pengunjung di Johor,” jelasnya.
Mengulas mengenai cabaran penguasaan bahasa asing dalam kalangan penggiat pelancongan negeri, Onn Hafiz berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan kualiti perkhidmatan pelancongan dapat dipertingkatkan.
“Dari segi bahasa, ia akan menjadi penghalang sekiranya kita tidak tingkatkan. Sebab itu saya tekankan kepada penggiat pelancongan untuk memastikan kualiti perkhidmatan terus dipertingkat kerana pelancong yang datang ke Johor bukan sahaja dari dalam negara, tetapi juga dari luar negara,” ujarnya.
Tahun Melawat Johor 2026 dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan jumlah kehadiran pelancong ke negeri ini dengan sasaran 12 juta pelancong.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!