Dewan Rakyat tegas ikut Perlembagaan, peraturan mesyuarat - Johari

SHAH ALAM – Ahli Parlimen yang didapati bersalah selepas dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen boleh dikenakan pelbagai tindakan bergantung kepada peruntukan undang-undang dan peraturan sedia ada.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul menegaskan, semua tindakan dikenakan berdasarkan dua prinsip yang termaktub dalam Perlembagaan dan peraturan mesyuarat.
"Dewan tegak atas dua prinsip, satu berpandukan kepada Perlembagaan dan kedua, peraturan mesyuarat.
"Saya tidak ada kuasa lebih daripada itu dan akan ikut apa yang ada dan tercatat kerana Perlembagaan dan peraturan tersebut bikinan ahli-ahli Parlimen.
"Mereka (ahli-ahli Parlimen) yang bersetuju, jadi saya akan ikut sahaja. Semua sudah termaktub, jelas sekali," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Buku 'Fallen Angels of Gaza', di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta menjelaskan tindakan atau hukuman yang boleh dikenakan kepada ahli Parlimen yang dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya didapati bersalah atas sesuatu pertuduhan atau isu.
Sebelum ini Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor menuntut Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta maaf berhubung kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa beliau mempertahankan warga asing dalam isu penyasaran subsidi RON95.
Muhyiddin berkata, sekiranya Anwar tidak meminta maaf, beliau akan membuat usul kepada Dewan Rakyat untuk merujuk Perdana Menteri ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Susulan itu Johari pada Jumaat memaklumkan, beliau belum menerima sebarang usul daripada Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) untuk merujuk Ahli Parlimen Tambun itu ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
Selain itu, tiada juga usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dikemukakan oleh pihak pembangkang setakat ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
