KKR kenal pasti lebih 1,000 lokasi 'blackspot' seluruh negara

Alexander.
Alexander.
A
A
A

TUMPAT - Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti lebih 1,000 lokaliti di seluruh negara yang dikategorikan sebagai lokasi kemalangan berisiko tinggi atau blackspot.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penilaian itu adalah hasil semakan menyeluruh yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap jalan persekutuan yang tidak mempunyai pencahayaan mencukupi, selekoh tajam serta mengalami kerosakan struktur jalan.

“Kita mendapati lokasi terbabit mempunyai beberapa kerosakan, termasuk keadaan pada waktu malam yang memerlukan pencahayaan dan sebagainya.

“Baru-baru ini, kita juga telah memasang lebih 300 lampu solar di laluan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) dan ia telah berfungsi dengan baik terutamanya pada waktu malam. Pemasangan lampu solar ini juga akan dilaksanakan di lokasi yang kerap berlaku kemalangan serta di selekoh tajam,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Feri Sri Tanjong 1 di JKR Feri Pengkalan Kubor. Turut hadir, Timbalan Gabenor Wilayah Narathiwat, Amirut Bua-On dan Pengarah JKR Kelantan, Nik Soh Yaacoub.

Tambahnya, kementerian juga memohon dana tambahan bagi merancakkan lagi pemasangan lampu solar di lokasi yang telah dikenal pasti bagi memastikan keselamatan pengguna.

Sementara itu, mengenai Feri Sri Tanjong 1, beliau berkata, perkhidmatan feri yang menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Takbai, Selatan Thailand bukan sahaja menjadi pengangkutan fizikal tetapi juga berperanan menyatukan dua masyarakat rentas sempadan.

“Ia juga mampu menjana pergerakan, memperkukuh perdagangan dan menyuburkan hubungan budaya serta persahabatan serumpun. Feri Sri Tanjong terdahulu telah menabur khidmat selama 34 tahun dengan penuh setia tanpa lelah.

“Justeru, penggantian kepada Sri Tanjong 1 adalah langkah tepat lagi bijaksana, bukan sahaja bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan yang lebih cekap malah selari dengan keperluan masa hadapan sejajar dengan teras utama Malaysia Madani,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Feri Sri Tanjong 1 mampu membawa muatan sebanyak 58 penumpang dan enam kru, lapan kenderaan ringan atau sebuah bas dengan kapasiti 44 penumpang. Ia dibina dengan kos RM7.90 juta dan siap sepenuhnya pada 28 Februari lalu sebelum diserahkan kepada JKR pada 11 Mac.

Alexander berkata, feri baharu itu direka bentuk dengan kapasiti lebih besar untuk penumpang serta kenderaan ringan dan berat, sekali gus menjadi pemangkin mobiliti rentas sempadan yang selamat, efisien dan menyokong aktiviti sosioekonomi rakyat.

“Saya yakin dan percaya, dengan keupayaan operasi yang lebih canggih serta kapasiti yang ditambah baik, Feri Sri Tanjong 1 akan memberikan pengalaman perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada rakyat. Lebih penting, ia mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, khususnya di jajahan Tumpat dan kawasan perbatasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan supaya feri lama dijadikan monumen untuk tatapan generasi akan datang. - Bernama

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!