Tarif AS: Ekonomi tidak meleset, tapi pertumbuhan akan perlahan - Tengku Zafrul

OSAKA, Jepun – Kesan tarif Amerika Syarikat (AS) tidak akan menyebabkan kemelesetan ekonomi, namun pertumbuhannya dijangka menjadi perlahan secara global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ada negara yang mungkin terkesan lebih besar bergantung kepada tahap keterbukaan ekonominya dan jumlah perdagangan dengan AS.
Katanya, Bank Negara Malaysia (BNM) juga telah menurunkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 daripada 4.5–5.5 peratus kepada 4–4.8 peratus.
“Mengenai kesan ekonomi akibat kenaikan tarif import AS terhadap kebanyakan negara, perkara utama yang perlu diperhatikan ialah permintaan. Jika ekonomi AS perlahan, ia akan memberi kesan kepada ekonomi global.
“Sesetengah syarikat mungkin dapat menanggung kenaikan kos tanpa memindahkannya kepada pengguna kerana telah membuat pembelian awal bahan mentah atau stok produk siap.
“Namun, apabila stok tersebut habis, kesan berantai dalam rantaian bekalan akan mula dirasai, dan tidak pasti sama ada syarikat-syarikat tersebut dapat menyerap kos keseluruhan,” katanya selepas melawat Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia 2025 Osaka pada Jumaat.
Berdasarkan perjanjian yang dicapai antara AS dan Malaysia seminggu lalu, AS akan mengenakan tarif import baharu terhadap produk Malaysia pada kadar 19 peratus lebih rendah, berkuat kuasa mulai 8 Ogos 2025.
Menjelaskan lebih lanjut, Tengku Zafrul memaklumkan bahawa rundingan tarif dengan AS hampir selesai, dengan sebahagian besar perkara utama telah dipersetujui.
“Enam bab utama yang dibentangkan adalah kunci rundingan ini. Kami telah mengemukakan pandangan kami. Saya fikir 99 peratus proses ini sudah selesai,” katanya.
Beliau menambah, langkah seterusnya adalah memuktamadkan kenyataan bersama, memandangkan AS perlu mengeluarkan kenyataan seumpama itu dengan banyak negara.
Pihak berkuasa Malaysia telah bersedia dan kini menunggu maklum balas daripada AS sebelum perjanjian perdagangan itu ditandatangani.
Menurut beliau, ini bermakna barangan Malaysia yang dieksport ke AS akan dikenakan kadar tarif import baharu, manakala barangan dari AS yang diimport ke Malaysia akan menerima pengurangan tarif seperti yang dipersetujui.
Ditanya mengenai reaksi syarikat dan peniaga terhadap tarif baharu ini, beliau memaklumkan bahawa pihaknya telah berhubung dengan Dewan Perniagaan AS yang turut mengeluarkan kenyataan menyambut baik langkah tersebut.
Namun, syarikat-syarikat dalam sektor elektronik, elektrik dan semikonduktor yang berdepan ketidakpastian mengenai kadar tarif masa hadapan, secara umum bimbang dengan kenyataan terkini Presiden AS, Donald Trump.
Beliau turut menyatakan bahawa industri farmaseutikal berada dalam situasi yang sama.
Namun secara keseluruhan, tarif AS terhadap Malaysia masih lebih rendah berbanding beberapa negara jiran, menjadikan daya saing Malaysia tidak terlalu terjejas.
Beliau turut menegaskan bahawa kenyataan Trump sebelum ini bahawa AS akan mengenakan tarif 100 peratus ke atas semikonduktor bukanlah pengumuman rasmi dan pada masa ini masih tertakluk kepada pengecualian.
“Sehingga kini tiada maklumat terkini. Difahamkan tiada pengumuman rasmi dikeluarkan, dan kami telah mengesahkan perkara ini dengan pihak AS.
"Trump sebenarnya tidak menandatangani sebarang perintah eksekutif. Setakat ini, ia hanyalah kenyataan yang dibuat beliau ketika bertemu Ketua Pegawai Eksekutif Apple. Jadi, kita tunggu maklumat lanjut,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa pengecualian tarif semikonduktor masih berkuat kuasa, dan siasatan di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan AS 1962 masih dijalankan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

