Wanita ditemui tidak bernyawa di ruang makan

ALOR GAJAH - Mayat seorang wanita ditemukan di ruang makan sebuah rumah di Taman Seri Gamelan, di sini, pada malam Khamis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintenden Azrul Mohamed berkata, pihaknya menerima panggilan orang awam yang memaklumkan seorang wanita dipercayai tidak sedarkan diri dalam rumah lebih kurang jam 7.44 malam.
Menurutnya, mayat wanita berusia 58 tahun dan beralamat di Johol Negeri Sembilan ditemukan selepas polis meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka untuk membuka pintu rumah yang berkunci.
"Pihak bomba terpaksa memecahkan pintu untuk masuk ke dalam rumah dan menemui mangsa dalam keadaan terbaring di ruang makan.
"Pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir di lokasi turut mengesahkan mangsa telah meninggal dunia sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Ujarnya, pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang kesan atau unsur jenayah pada tubuh mangsa dan siasatan awal kes diklafikasikan sebagai mati mengejut (SDR),
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis," katanya lagi.
Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll, Norhayati Rahmat berkata, pasukannya dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Masjid Tanah membuka pintu rumah yang berkunci menggunakan peralatan khas.
"Setelah pintu berjaya dibuka pasukan bomba membantu polis mengangkat mayat mangsa sebelum menyerahkan kepada polis bagi tindakan lanjut.
"Operasi terkawal dilaporkan pada jam 8.10 malam dan operasi ditamatkan pada jam 9 29 malam," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

