Ops Khas kad ATM: 71 individu diberkas

KUALA LUMPUR - Seramai 71 individu termasuk lapan wanita ditahan dalam 59 serbuan Op Khas Kad ATM di seluruh negara sejak 29 Julai hingga 31 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kesemua individu yang ditahan berusia 19 hingga 50 tahun itu disyaki terlibat dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud, pengurup/pengirim wang tanpa lesen dan 'phone scam'.
"Kita menumpaskan kegiatan pengeluaran wang oleh sindiket penipuan yang berkaitan dengan kes dilaporkan oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC).
"Seramai 71 individu iaitu 55 lelaki dan lapan wanita warga tempatan, lapan lelaki warga Bangladesh, China, Nigeria serta Indonesia ditahan dalam serbuan itu," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JSJK, Menara KPJ di sini pada Jumaat.

Rusdi berkata, serbuan itu dilakukan hasil kolaborasi bersama Bank Negara Malaysia bagi mengenal pasti kawasan atau tempat pengeluaran wang dengan menggunakan kad ATM milik keldai akaun.
"Kita melaksanakan 24 serbuan di Kuala Lumpur, Pulau Pinang (11), Sabah (8), Perak (5), Pahang (4), Selangor (3) dan masing-masing dua serbuan di Negeri Sembilan serta Sarawak," katanya.
Beliau berkata, polis turut merampas 925 keping kad ATM pelbagai bank, wang tunai RM392,266, telefon bimbit (100), 32 kad sim, 16 beg, lima buah kereta, komputer riba dan sebuah mesin pencetak.
"Kita turut merampas 55 dokumen (butiran peminjam, boring permohonan pinjaman, salinan Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan salinan kertas bertulis maklumat syarikat).
"Selain itu, sebanyak 10 fail berkaitan dokumen butiran peminjam wang dan borang-borang permohonan pinjaman, dua buku cek kosong dan satu resit cek bernilai RM90,961.24 dirampas," katanya.
Rusdi berkata, sebanyak 42 kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun, Seksyen 424, Seksyen 424A, Seksyen 511 Kanun Keseksaan, Seksyen 5(2), Seksyen 15 (1) (b), Seksyen 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.
"Setakat ini, 16 daripada 71 individu yang ditahan telah dituduh di mahkamah, manakala baki 55 individu yang lain telah dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dilengkapkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
