JPJ Melaka saman pengguna degil buat pusingan U

Tangkap layar video memaparkan antara pengguna jalan raya yang dikenakan notis saman kerana melakukan kesalahan membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan di kawasan Ayer Keroh, Melaka.
Tangkap layar video memaparkan antara pengguna jalan raya yang dikenakan notis saman kerana melakukan kesalahan membuat pusingan U di kawasan tidak dibenarkan di kawasan Ayer Keroh, Melaka.
A
A
A

MELAKA - Tindakan segelintir pemandu yang berdegil membuat pusingan U di Jalan Tun Abdul Razak, Ayer Keroh di sini pada Khamis akhirnya dikenakan notis saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka.

Pengarahnya, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, dalam Operasi Khas Pusingan U selama dua jam yang bermula pada jam 11 pagi, sebanyak 11 notis saman telah dikeluarkan ke atas pelbagai kenderaan yang melakukan kesalahan itu.

Menurutnya, operasi yang dilakukan pada Khamis itu diambil susulan pemantauan serta aduan awam berhubung perbuatan pemandu yang membuat pusingan U secara haram di kawasan berkenaan, sekali gus mengganggu kelancaran trafik serta membahayakan pengguna jalan raya lain.

Katanya, papan tanda larangan membuat pusingan U telah diletakkan di kawasan itu, namun masih ada pengguna yang mengambil mudah perkara tersebut. JPJ Melaka perlu bertegas dan tidak berkompromi, lebih-lebih lagi apabila melibatkan kesalahan undang-undang jalan raya.

"Oleh itu, JPJ Melaka akan meningkatkan pemantauan termasuk rondaan dan operasi penyamaran bagi membendung perbuatan tersebut, selain melaksanakan tindakan saman serta-merta di lokasi berisiko.

"Kami juga mengingatkan semua pengguna jalan raya supaya mematuhi undang-undang trafik demi keselamatan bersama dan mengelakkan sikap mementingkan diri ketika memandu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Ujarnya, perbuatan mereka ini bertentangan dengan Kaedah 13(1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 dan boleh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 119(1)(c) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang juga boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan.

“Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM4,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya.

"Mereka juga berisiko dikenakan mata demerit di bawah sistem KEJARA yang boleh menjejaskan status lesen memandu," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Sebarang aduan berkaitan salah laku pemanduan boleh disalurkan melalui talian rasmi JPJ Melaka atau platform Aduan@JPJ.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!