Ajal ketika buat pusingan U

SEREMBAN - Seorang pekerja kedai makan maut selepas motosikal Modenas Kriss ditunggangnya dirempuh sebuah motosikal lain dalam kemalangan di Jalan Seremban-Tampin berhampiran Taman Bukit Emas pada Selasa.
Mangsa yang dari arah Senawang ke Seremban dikatakan membuat pusingan U di persimpangan lampu isyarat dan pada masa sama penunggang Kawasaki KLZ yang berada di jalan lurus tidak sempat mengelak motosikal berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Seremban, Superintenden Muhd Amrul Yazid Anuar berkata, kemalangan sekitar jam 10.30 pagi itu menyebabkan mangsa berusia 58 tahun maut sementara seorang lagi penunggang parah.
"Penunggang Kriss maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki.
"Sementara penunggang Kawasaki KLZ berusia 48 tahun mengalami kecederaan parah di bahagian bahu dan kaki kanan telah dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk mendapatkan rawatan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, kes disiasat di bawah Sek 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
Ujarnya, individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor G Sankar atau terus ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!