'Kalau nak kecewa, saya kecewa lama dah’- Khir Toyo

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tindakan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah disebabkan rasa kecewa kerana tidak menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau sebaliknya menegaskan perkara tersebut tidak pernah ditimbulkan walaupun sebelum ini sering kali menemani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke mahkamah bagi menghadapi perbicaraan.
Malah katanya, beliau mengambil masa hampir tiga tahun sebelum menyertai Bersatu, apabila melihat partinya kini seolah-olah tidak boleh ‘move on’ dan tidak ‘membenarkan’ pemimpin yang lebih berketerampilan memimpin parti.
“(Dakwaan) Saya kecewa tak dicalonkan? Saya tak pernah minta walaupun temani dia (Ahmad Zahid) di mahkamah. Hari-hari saya teman sebab sebagai sahabat, menemani dia yang dalam masalah itu tanggungjawab saya.
“Saya tak pernah sebut nak jadi calon pada Datuk Ahmad Zahid, tak ada. Bagi saya yang penting bukannya saya tetapi adalah perjuangan. Kalau kata nak kecewa, saya kecewa lama dah. Kenapa saya masuk parti Bersatu selepas dua tahun, hampir 3 tahun?
“Kecewa? Tak ada. Saya lihat inilah sikap yang diambil oleh (sebilangan) ketua-ketua UMNO yang menyebabkan UMNO tak ‘move on’. Tak boleh, kita kena benarkan orang muda, orang yang lebih berketerampilan, lebih berpendidikan, lebih berkepimpinan daripada kita untuk memimpin UMNO,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa program Interviu yang dihoskan Haizir Othman, bertajuk Dari UMNO ke Bersatu: Episod baharu Khir Toyo dalam politik Malaysia yang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Sebelum ini, beberapa pemimpin UMNO antaranya Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos mengkritik dan mengatakan bahawa keputusan Mohamad Khir masuk Bersatu dibuat kerana kekecewaan tidak dicalonkan bertanding dalam PRU15.
Tambah Mohamad Khir, pemimpin UMNO perlu diingatkan bahawa tanggungjawab untuk menjadi ketua bahagian bukanlah kerana kepentingan peribadi.
“Tak boleh, kita kena ingat bahawa UMNO ini untuk orang Melayu, bukan untuk diri sendiri.
“Masa untuk pemimpin mendapat laba daripada menjadi ketua-ketua bahagian ini, dah lepas. Tak boleh lagi dah. Kita kena ‘move on’ sekarang.
“Bagi saya dalam demokrasi, angka sangat penting. Datuk Puad kalah semasa bertanding di Parlimen Batu Pahat, kenapa? Angka (tak cukup jumlah). Datuk Jamal kalah di Sungai Besar, kenapa? Angka. Bagi saya kalau kita dah kalah, bagilah peluang kepada orang lain. Kalau kita masih lagi di situ, apa matlamatnya sebab dah ditolak?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

