OUM rai 25 tahun, anjur syarahan umum kepimpinan visionari

KUALA LUMPUR – Open University Malaysia (OUM) menganjurkan siri syarahan umum bertemakan Kepimpinan Visionari: Merintis Masa Depan Pendidikan Digital sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan universiti itu.
Presiden merangkap Naib Canselor OUM, Prof Dr Ahmad Izanee Awang berkata, syarahan umum itu diadakan bagi membincangkan persoalan utama berkaitan masa depan pendidikan digital.
Menurutnya, ia termasuk bentuk kepimpinan yang diperlukan dalam era digital, cara menghapuskan ketidaksamarataan pendidikan dan peranan pelbagai pihak dalam membentuk masa depan pendidikan lebih adil.
“Menerusi program ini, kami menjemput lima tokoh antarabangsa yang dilantik sebagai Felo Global dan ahli Lembaga Penasihat Antarabangsa OUM.
“Tokoh berkenaan ialah wakil dari University of South Africa, Afrika Selatan, Prof Emiritus Paul Prinsloo; Open University of Shantou, China, Prof Emeritus Junhong Xiao dan University of the Philippines Open University Filipina, Prof Melinda dela Pena Bandalaria.
“Selain itu, wakil University of Oldenburg Jerman, Prof Olaf Zawacki-Richter; dan Seoul National University, Korea Selatan, Prof Insung Jung,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran syarahan itu pada Rabu.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Hadir sama, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof Dr Azlinda Azman dan Pengerusi Lembaga Pengelola OUM, Prof Emeritus Datuk Dr Muhammad Awang.
Menurut Ahmad Izanee, sejak ditubuhkan suku abad lalu, OUM telah mendaftar lebih 250,000 pelajar dan melahirkan lebih 120,000 graduan yang kebanyakannya terdiri daripada golongan dewasa bekerja termasuk guru, jururawat, pengamal industri serta usahawan.
Beliau turut menekankan komitmen OUM yang mengangkat moto ‘Universiti untuk Semua’ dengan membuka akses pendidikan kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk banduan, anggota pasukan keselamatan, pesara, masyarakat Orang Asli serta mereka di kawasan pedalaman.
“Semangat untuk mengenal pasti, menghargai dan memperkasa potensi manusia merentas latar belakang kehidupan inilah yang menjadi inspirasi tema ulang tahun ke-25 kami iaitu Memanusiakan Pendidikan Digital,” jelasnya.
Sementara itu, Mustapha memberitahu, syarahan umum ini diadakan pada waktu yang sangat bermakna.
Katanya, ia mengajak semua pihak untuk berfikir tentang kepimpinan dan membuat keputusan tegas dalam menghadapi perubahan pada masa akan datang.
“Masa depan bergantung kepada apa yang kita bina hari ini. Pendidikan adalah tempat segalanya bermula.
“Melalui pendidikan, kita membentuk cara manusia menghadapi perubahan, menyelesaikan masalah dan membawa nilai-nilai penting dalam masyarakat,” ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

