Sukma Selangor 2026 pertanding 34 sukan, penyertaan wanita diperluas

Hannah ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma.
Hannah ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma.
A
A
A

DUA sukan baharu iaitu tinju dan sofbol telah disahkan sebagai sukan wajib tambahan bagi temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2026 ybag akan dianjurkan kerajaan negeri Selangor.

Perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, yang turut memuktamadkan keseluruhan 30 sukan wajib dipertandingkan pada temasya berkenaan.

Selain itu, empat sukan tambahan iaitu catur, e-sukan, kriket dan kabaddi turut diluluskan, menjadikan keseluruhan 34 jenis sukan akan dipertandingkan pada temasya berkenaan.

Keputusan ini adalah muktamad dan tiada lagi rayuan penambahan akan dipertimbangkan bagi memastikan penganjur mempunyai tempoh yang mencukupi untuk membuat persiapan rapi menjelang temasya yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 di sembilan daerah seluruh negeri Selangor.

Dalam pada itu, isu kekurangan penyertaan atlet wanita dan pegawai teknikal wanita dalam temasya Sukma 2024 di Sarawak turut mendapat perhatian serius apabila beberapa pendekatan telah dikemukakan serta dipersetujui oleh semua pihak dalam mesyuarat tersebut.

Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuklah penganjuran tiga kursus teknikal dan kejurulatihan wanita pada tahun 2025 serta lima kursus lagi pada tahun 2026.

Setiap kontinjen negeri juga diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang Ketua atau Timbalan Ketua Kontinjen wanita.

Selain itu, satu kuota minimum sebanyak 20 peratus pegawai sokongan wanita akan ditetapkan dalam urus setia dan pasukan perubatan kontinjen.

Mesyuarat turut menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus sukarelawan wanita dan 20 peratus pegawai teknikal wanita.

Artikel Berkaitan:

Bagi setiap pasukan wanita atau acara yang memerlukan pemeriksaan fizikal pula, sekurang-kurangnya seorang pegawai wanita wajib didaftarkan.

Untuk acara terbuka, penyertaan atlet daripada jantina berbeza akan diwajibkan.

Sukan yang tersenarai dalam temasya Olimpik juga akan tetap dijalankan walaupun tidak mencapai penyertaan minimum atlet wanita, berbeza daripada peraturan terdahulu.

Dalam perkembangan sama, mesyuarat turut meluluskan penyertaan rasmi Kontinjen Negara Brunei Darussalam dalam Sukma 2026.

Jenis dan jumlah sukan yang akan disertai oleh negara itu akan ditentukan oleh Jawatankuasa Khas Teknikal Sukma dalam masa terdekat.

Sementara itu, Mesyuarat Exco Belia dan Sukan Negeri yang diadakan sebelum Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sukma turut bersetuju bahawa bermula edisi 2026, penyertaan negeri ke Sukan Para Sukma akan diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri menggantikan peranan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

Langkah ini bertujuan memperkemaskan pengurusan bakat dan persiapan atlet Para di peringkat negeri secara lebih strategik dan berfokus.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!