Kapal tangki terbakar, kru warga Indonesia maut

Kapal tangki yang terbakar kira-kira 36 batu nautika dari Tanjung Sedili Kechil pada petang Rabu. Foto Maritim
Kapal tangki yang terbakar kira-kira 36 batu nautika dari Tanjung Sedili Kechil pada petang Rabu. Foto Maritim
A
A
A

KOTA TINGGI – Seorang kru kapal warga Indonesia maut, manakala empat lagi cedera dalam kejadian kebakaran sebuah kapal tangki di perairan timur Johor pada petang Rabu.

Menurut Pemangku Pengarah Maritim Negeri Johor, Kepten Maritim Kama Azri Kamil, pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu daripada seorang pemancing yang berada di kawasan kejadian.

“Pusat Penyelamat Maritim Johor Bahru (Maritime Rescue Sub Centre – MRSC) menerima aduan pada jam 9.30 malam dan dimaklumkan bahawa sebuah kapal tangki dengan tanda nama MT 108 terbakar kira-kira 36 batu nautika dari Tanjung Sedili Kechil.

“Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) segera diaktifkan dan Kapal Maritim (KM) Satria digerakkan ke lokasi kejadian.

“Operasi turut dibantu oleh bot Perkasa 30 dari Zon Maritim Tanjung Sedili dan Penggalang 43 dari Zon Maritim Mersing,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambah Kama Azri, hasil siasatan awal mendapati lima mangsa telah diselamatkan oleh bot awam sebelum dibawa ke darat.

Bagaimanapun katanya, salah seorang mangsa, lelaki warga Indonesia berusia 42 tahun disahkan meninggal dunia dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

“Empat lagi mangsa terdiri daripada seorang lelaki tempatan dan tiga warga Indonesia berusia antara 31 hingga 49 tahun telah dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Setakat ini, Op Carilamat dilaksanakan meliputi kawasan seluas lapan batu persegi dengan penglibatan sebuah kapal dan dua bot ronda milik Maritim Malaysia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!