Al-Quran perlu diangkat sebagai asas kehidupan dan pentadbiran - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Al-Quran perlu dijadikan asas dalam setiap aspek kehidupan dan pentadbiran negara bagi melahirkan generasi seimbang dari segi rohani dan intelek, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, kitab suci itu bukan hanya untuk tujuan tilawah dan hafazan semata-mata, sebaliknya perlu dijadikan panduan dalam merangka dasar negara, membentuk sistem pendidikan serta membina ekonomi yang berteraskan nilai Islam.
"Hari ini, kita hidup dalam dunia yang bergerak pantas, teknologi berkembang tanpa sempadan, bangunan mencakar langit, ekonomi berlari laju tetapi di sebalik segala kemajuan itu jiwa manusia kian resah, akhlak kian terhakis dan nilai kemanusiaan yang melalaikan.
"Di sinilah pentingnya peranan al-Quran, kitab agung yang menjadi panduan hidup, petunjuk jalan, undang-undang membina peradaban dan paling utama, tali penghubung antara manusia dengan ALLAH SWT,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan World Quran Symposium 2025 sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Khamis.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pembangunan fizikal dan teknologi memang penting, namun Malaysia juga perlu melahirkan insan yang kukuh akidah serta berteraskan nilai murni melalui generasi Qurani yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Bagi menyokong usaha ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Huffaz serta Program Pra-Tahfiz di Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) KEMAS.
"Bermula dengan hanya 100 Tabika, program ini kini berkembang kepada lebih 8,167 Tabika di seluruh negara dan menyasarkan melahirkan 140,000 huffaz cilik menjelang 2026,” katanya.
Katanya, usaha ini turut diperkukuh melalui Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan pelaksanaan konsep ‘ulul albab’ di 57 buah Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.
"Alhamdulillah, MRSM kini mengungguli senarai sekolah terbaik berdasarkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini,” katanya.
Mengulas mengenai World Quran Symposium 2025, Ahmad Zahid berkata, program itu bukan sekadar medan ilmiah yang menghimpunkan cendekiawan, malah merupakan langkah strategik memperkukuh posisi Malaysia sebagai peneraju wacana Islam global.
"Malaysia kini muncul sebagai jambatan antara warisan keilmuan dan inovasi masa kini, pusat dialog Islam kontemporari, serta suara sederhana yang membawa prinsip keseimbangan di tengah-tengah kekeliruan dunia moden.
"Justeru, jangan biarkan simposium ini berakhir di atas pentas dan kertas. Jadikan ia titik tolak kepada gerakan pemikiran Qurani yang segar, menjadi pemangkin dasar negara serta menyatukan tekad membina Malaysia di atas landasan nilai-nilai wahyu,” katanya.
World Quran Symposium 2025 menghimpunkan 1,500 peserta termasuk ahli Jawatankuasa Muzakarah Fatwa, pensyarah, pelajar institusi pengajian tinggi, pakar syariah, guru takmir, wakil kementerian serta orang awam, bagi memperkukuh penghayatan nilai Qurani dalam kehidupan seharian. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
