X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Pegawai awam diarah kerja dari rumah

Seorang penduduk Kampung Peramu mengikuti pengumuman rasmi oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung langkah-langkah kerajaan berkaitan penularan Covid-19 yang disiarkan secara langsung menerusi telefon pintarnya. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Semua pegawai awam diarah bekerja dari rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman dalam surat edaran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini berkata, ketua jawatan bagaimanapun boleh menentukan perkhidmatan penting di kementerian atau jabatan masing-masing dan mengarahkan pegawai terlibat hadir bertugas di pejabat.

Menurut Mohd Khairul Adib, bagi pegawai yang diarah bekerja dari rumah mereka hendaklah mematuhi arahan termasuk sentiasa berada di rumah dalam tempoh waktu pejabat atau bekerja yang ditetapkan kerajaan.

"Sentiasa bersedia sekiranya diarah oleh ketua jabatan untuk hadir ke pejabat atau mana-mana lokasi lain dan pastikan sentiasa boleh dihubungi dalam tempoh waktu bekerja," katanya.

Mohd Khairul Adib berkata, tindakan tatatertib boleh diambil terhadap pegawai yang gagal mematuhi perkara-perkara yang dinyatakan itu melainkan mendapat kebenaran ketua jabatan.

"Pegawai adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa yang mana bersesuaian," katanya.

Mohd Khairul Adib berkata, arahan itu turut dipanjangkan kepada semua perkhidmatan awam negeri, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus